Penemuan 7 piramid di Tasik Chini jadi tanda tanya orang ramai. Sebelum ini, bangunan berbentuk piramid ditemui dalam banyak tamadun purba di seluruh dunia sejak ribuan tahun lalu, termasuk di Mesir, Mexico, Peru, Iraq, dan China, menimbulkan persoalan mengenai fungsinya yang melintasi benua dan budaya tamadun yang berbeza.
Beberapa tahun yang lalu, berita tentang adanya piramid tersembunyi di bawah bukit di pedalaman kawasan hutan di Pahang, Malaysia, menjadi perhatian ramai. Walau bagaimanapun, kesahihan berita ini tidak dapat dipastikan kerana piramid tersebut kini telah diselubungi oleh hutan dan kelihatan seperti sebuah bukit atau gunung kecil.
Pada 10 Disember 2007, akhbar New Straits Times melaporkan penemuan tujuh bukit yang kemungkinan berasal dari piramid yang dibina di Tasik Chini, Pahang hampir 1,000 tahun lalu. Laporan tersebut mengejutkan rakyat Malaysia yang tidak menyangka bahawa binaan misteri piramid juga wujud dalam alam Melayu pada zaman dahulu.
Menurut laporan akhbar tersebut, piramid tersebut mungkin dibina oleh Kerajaan Khmer kuno yang berpusat di Kemboja dan memerintah dari tahun 802 hingga 1432, meluaskan jajahan taklukannya sehingga ke Tasik Chini sepanjang tempoh tersebut.
Mengikut teori, ratusan tahun selepas empayar itu berakhir, piramid tersebut ditinggalkan hingga tertimbus tanah dan ditumbuhi pohon, menjadikannya sebuah bukit yang dikelilingi oleh hutan. Kawasan kota di sekitar piramid juga dipercayai tenggelam dalam Tasik Chini.
Kini, kawasan di sekitar bukit telah dibersihkan untuk memberi ruang kepada aktiviti pertanian. Beberapa serpihan mangkuk porselin telah ditemui di sekitar bukit tersebut, menguatkan lagi bukti bahawa kawasan tersebut pada satu ketika merupakan tempat peradaban yang pesat semasa kegemilangan empayar Khmer.
Menurut catatan sejarah, ibu kota empayar Khmer terletak di Siem Reap, dan Tasik Chini berkemungkinan merupakan salah satu kota jajahan takluk empayar tersebut. Empayar ini mencapai kemuncak kegemilangan pada sekitar abad ke-13, sebelum mengalami pergolakan kuasa yang menyebabkan keruntuhan pada abad ke-15.
Sejak laporan akhbar tersebut diterbitkan, tiada kajian lanjutan yang dilakukan. Walau bagaimanapun, pendedahan ini menimbulkan pelbagai persoalan dan teka-teki mengenai misteri piramid tersebut, yang telah membingungkan minda penyelidik di seluruh dunia selama ribuan tahun.
Proses pembinaan piramid amat misteri
Dengan perkembangan sains dan teknologi yang baru-baru ini berkembang dalam beberapa ratus tahun terakhir, sukar untuk membayangkan bagaimana bangunan yang sangat besar itu mampu dibina ribuan tahun yang lalu.
Bayangkan, untuk membina bangunan raksasa pada zaman ini, manusia memerlukan pakar geologi, jurutera, arkitek, dan pelbagai jenis jentera yang berasaskan teknologi untuk mengangkat bahan-bahan berat dan menyusun struktur bangunan.
Oleh itu, adakah terdapat pakar dalam bidang fizik, kejuruteraan, pembinaan, dan jentera yang hebat pada ribuan tahun yang lalu yang digunakan untuk membina piramid? Pembinaan piramid adalah suatu proses yang amat rumit. Piramid di Mesir, sebagai contoh, dibangunkan dengan menggunakan kira-kira dua juta batu, dengan berat setiap satu di antara dua tan hingga 15 tan.
Walaupun proses pembinaan piramid sangat mencabar, yang menariknya ialah bahawa bangunan itu dibina dengan jumlah yang banyak. Terdapat 138 piramid di Mesir, yang menimbulkan persoalan tentang kepentingan piramid dalam kepercayaan Mesir kuno kira-kira 3,000 tahun yang lalu.