Imam maut ditikam ketika ambil wuduk solat subuh. Seorang imam telah meninggal dunia selepas ditikam oleh individu yang tidak dikenali semasa sedang mengambil wuduk untuk solat Subuh pada hari Khamis.
Kejadian itu berlaku di surau Uswatun Hasanah, Kebon Jeruk, Jakarta Barat dengan pantasnya sehingga jemaah yang hadir tidak sempat menahan pelaku.
“Secara tiba-tiba, pelaku datang dan menikam imam itu. Allahyarham berteriak menyatakan bahawa ada pencuri, dan kemudian jemaah lain datang ke tempat kejadian,” kata Hasan Basri, seorang saksi.
Hasan menerangkan bahawa jemaah membawa imam tersebut ke hospital tetapi nyawa Allahyarham tidak dapat diselamatkan. Pelaku tidak berjaya ditangkap kerana berjaya melarikan diri.
“Pelaku memakai baju kelabu dan hanya memakai seluar pendek semasa melakukan jenayah tersebut. Saya perhatikan ada lelaki berjalan di sekitar surau pada hari itu, dia kelihatan pelik tetapi pada masa itu tidak ada yang sangka dia akan melakukan penyerangan terhadap imam,” katanya.
“Kejadian ini amat mengejutkan kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini,” tambahnya.
Penduduk tempatan percaya bahawa Allahyarham tidak mempunyai musuh atau masalah peribadi dengan sesiapa pun.
Malah, Allahyarham digambarkan sebagai seorang yang mempunyai budi pekerti yang baik dan tidak suka mengganggu orang lain.
Pihak polis kini sedang memburu pelaku dan telah mendapatkan keterangan daripada keluarga dan saksi kejadian.