Laki bini orang ‘alim’ tak nak bayar hutang RM6,000 sebab pemiutang tak solat. Setiap orang pasti bersedia untuk membantu ahli keluarga atau rakan taulan yang mengalami masalah kewangan jika mampu.
Namun, kadang-kadang kebaikan ini tidak dihargai oleh sesetengah individu sehingga ada yang sanggup mengabaikan pemiutang selepas berjaya keluar dari masalah kewangan yang dialami.
Melalui satu perkongsian yang menjadi viral, seorang lelaki menceritakan pengalaman menghadapi situasi di mana individu yang meminjam wang daripadanya enggan melunaskan hutang tersebut.
Menurutnya, pinjaman yang dilakukan telah melepasi tempoh tiga tahun.
“Ahli keluarga saudara berhutang RM6,000 kepada saya. Semasa meminjam, dia berjanji akan membayar balik. Sekarang, sudah lebih tiga tahun berlalu, namun masih belum membayar,” katanya di laman X.
Lebih mengejutkan lagi, dia mendedahkan bahawa individu tersebut cuba menggunakan ‘agama’ sebagai alasan untuk tidak membayar hutangnya.
Menurut lelaki ini, isteri kepada saudaranya tersebut menyatakan bahawa hutang yang mereka buat tidak perlu dibayar kerana lelaki itu tidak menunaikan solat.
“Isterinya mengatakan dalam Islam tidak wajib membayar hutang kerana saya tidak menunaikan solat,” katanya dengan sedih.
Merasa kecewa dengan jawapan yang diterima, dia kemudian mempersoalkan sama ada saudaranya yang menunaikan solat lima waktu boleh masuk syurga atau tidak jika dia tidak memenuhi tanggungjawab untuk melunaskan hutangnya.
“Mereka suami isteri yang rajin menunaikan solat tetapi tidak membayar hutang, boleh masuk syurga ke?” soalnya.
Luahan ini di laman X menjadi viral sehingga menarik perhatian pengguna internet.
Ramai yang memberikan reaksi tidak puas hati terhadap tindakan saudaranya yang seolah-olah memanfaatkan kebaikan orang lain.
Tidak kurang juga yang turut menasihati lelaki itu supaya berusaha menunaikan ibadah solat.
“Orang mati syahid pun sangkut sebab hutang. Kalau abang ini suatu hari nanti Allah SWT bagi hidayah dan sempurnakan solat lima waktu… beritahu la kat sana.
“Masa kebuluran nak pinjam, tidak fikir pula adakah orang itu menunaikan solat atau tidak.
“Janganlah halalkan. Hal ini boleh menjadi modal di akhirat. Cuba abang solat, pada mulanya mungkin sekejap-sekejap… lama-kelamaan insyaAllah konsisten. Jika dia jawab seperti itu lagi, abang balaslah ‘saya bukan seperti abang suami isteri yang menunjukkan solat kepada orang tetapi hidup penuh dengan hutang, saya solat kerana Allah sahaja yang tahu’.
“Ayat paling panjang dalam Quran adalah mengenai hutang. Ini menunjukkan betapa pentingnya hal hutang ini, janganlah abang anggap ringan. Abang tidak mahu membayar hutang, mudah saja cakap hutang tidak wajib dibayar,” ujar beberapa warga maya.