
Vincent Tan bakal jadi pemilik baru Kelantan FC?
Vincent Tan bakal jadi pemilik baru Kelantan FC? Kemelut kewangan yang melanda Kelantan FC ketika ini mungkin berakhir sebelum Liga Malaysia musim 2023 tamat jika idea penubuhan konsortium yang turut melibatkan hartawan Tan Sri Vincent Tan menjadi kenyataan.
Menurut sumber rapat Kelantan FC, pemilik The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman telah berhubung dengan pengasas Berjaya Corp Berhad (BCorp) tersebut untuk menawarkan 40 hingga 50 peratus pegangan saham kelab.
Sama ada sebagai pemilik atau hanya sebahagian pemegang saham, Vincent ditawarkan peluang membantu menyelamatkan TRW, gergasi bola sepak pantai timur yang semakin ‘tenggelam’ akibat kemelut kewangan.
Pengalaman luas Vincent dalam bola sepak sebagai pemilik dua kelab Eropah, Cardiff City (Wales) dan FK Sarajevo (Sarajevo) antara yang menjadikan beliau calon terbaik untuk mengeluarkan Kelantan FC daripada kemelut.
Tidak hanya itu, Vincent, 71, yang pernah menjadi pemilik kelab Belgium, K.V. Kortrijk juga mempunyai kemampuan kewangan yang mampu mengembalikan zaman kegemilangan TRW.
“Norizam sudah berhubung dengan Vincent mengenai tawaran 40 hingga 50 peratus pegangan saham kelab.
“Setakat ini proses sedang berjalan dan kita tunggu hasilnya nanti.
“Doakan semuanya berjalan dengan baik,” kata sumber berkenaan kepada Utusan Malaysia.
Masalah tunggakan gaji yang berterusan menghimpit Kelantan FC memaksa Norizam mencari pelabur bagi mengeluarkan pasukan itu daripada kemelut kewangan.
Kelmarin, TRW dikenakan sekatan perpindahan pemain oleh badan bebas, First Instance Body (FIB) kerana gagal menghantar bukti bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta tunggakan gaji pemain dan pegawai (April dan Mei 2023) sebelum tarikh akhir ditetapkan pada 28 Jun 2023 dan 30 Jun lalu.
Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) juga mengesahkan telah menerima 19 aduan berkaitan gaji dan kontrak pemain Kelantan FC yang kini sudah dipanjangkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menurut sumber, satu pertemuan bersama pemilik baharu dan FAM akan diadakan hari ini bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai status Kelantan FC, terutama berkenaan nilai hutang pasukan itu.
Usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan reaksi Norizam bagaimanapun gagal selepas kiriman mesej tidak dibalas.