“Apa rasa wei?”- Kopi daun bawang ‘trending’ di China selepas kopi cili. Sebelum ini kami telah berkongsi tentang kopi yang dicampur dengan cili di China. Kali ini, kami ingin berkongsi tentang kopi berperisa yang unik juga dari negara China, iaitu kopi yang dicampur dengan daun bawang.
Menurut laman web Must Share News, kopi ini dikenali sebagai ‘Scallion Latte’. Walaupun gabungan kedua-dua bahan ini agak unik, namun kopi dengan daun bawang tetap menjadi trending di negara itu kerana terdapat banyak peminat kopi yang ingin mencubanya.
Dalam video-video yang viral di media sosial, dapat dilihat bahawa potongan daun bawang yang dihiris halus telah dicampurkan ke dalam kopi.
Selain itu, turut difahami bahawa potongan daun bawang juga digunakan sebagai hiasan atau topping bagi minuman tersebut.
Meskipun trending di media sosial negara itu, namun ada juga netizen mereka yang mempersoalkan kopi daun bawang itu kerana mereka tidak pasti bahawa kombinasi itu sesuai diminum bersama.
Difahamkan bahawa kini di China, terdapat tren makanan aneh yang dikenali sebagai “hei an liao li”, di mana makanan atau minuman akan dicampur dengan bahan yang sebelum ini tidak pernah digunakan seperti kopi daun bawang ini.
Tambahan pula, ini bukanlah kali pertama kombinasi sebegini dihasilkan oleh kafe atau kedai kopi, kerana sebelum ini juga terdapat kopi yang dicampur dengan nasi, latte kicap soya, kopi yang dicampur dengan kuah daging, dan sebagainya.