Syafiq Kyle & Mimi Lana batal nikah 1 minggu sebelum majlis, ini sebabnya. Pasangan selebriti Syafiq Kyle dan Mimi Lana dilaporkan membatalkan majlis perkahwinan mereka yang dijadualkan pada 18 Ogos ini.
Perkara itu disahkan oleh pengurus pasangan berkenaan iaitu Iman Tang dalam satu mesej ringkas yang dihantar kepada tetamu yang diundang.
“Saya dan pihak pengurusan ingin mengumumkan bahawa majlis pernikahan dan resepsi Mimi Roziana dan Muhammad Syafiq Shamim yang dijadualkan 18 Ogos 2023 di Puncak Rimba, Bentong, Pahang dibatalkan atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.
“Mohon maaf atas segala kesulitan,” demikian mesej itu yang dihantar kepada tetamu hari ini.
Rakan-rakan artis dan jemputan yang menerima mesej pembatalan itu juga turut terkejut kerana majlis itu hanya akan berlangsung dalam masa seminggu sahaja lagi.
Majlis akad nikah pasangan itu sepatutnya diadakan pada sebelah pagi di Puncak Rimba, Bentong, Pahang sementara resepsinya pada sebelah malam berkonsepkan acara dalam taman.
Berita pembatalan majlis pernikahan pasangan selebriti itu menggemparkan industri seni tempatan apatah lagi Mimi baru saja meraikan majlis ‘bachelorette’ baru-baru ini.
Usaha Harian Metro untuk mendapatkan Syafiq Kyle bagaimana pun tidak berjaya.
Sementara itu, Mimi seperti mengesahkan berita itu apabila memuat naik puisi berbahasa Inggeris tentang penghargaan terhadap wanita di Instagram miliknya.
Tanpa sebarang kapsyen dan hanya meletakkan tanda noktah, Mimi turut menutup ruangan komen pada hantaran itu.
Untuk rekod, pada 21 Januari lalu, Mimi memuat naik gambar dipercayai majlis pertunangannya dengan Syafiq.
Terdahulu, pasangan ini juga pernah putus cinta pada Mei 2020 selepas lima tahun bersama namun hubungan mereka kembali bertaut apabila berkongsi foto di media sosial.