Jadi tanda tanya, kenapa jalan naik Genting Highland dibuat bengkang bengkok, kenapa tak lurus je lebih dekat dan jimat masa? Baru-baru ini, satu laman Facebook menyebarkan idea bahawa lebih baik untuk membina jalan berkelok-kelok di kawasan peranginan tanah tinggi berbanding dengan membina jalan lurus. Selain menawarkan pemandangan yang lebih indah, ia juga dikatakan menjimatkan kawasan menurut kenyataan laman Facebook tersebut.
Bagi penulis, terdapat dua penjelasan yang mungkin boleh diterima berdasarkan kenyataan tersebut. Pertama, kemungkinan besar kenyataan tersebut dibuat sekadar bergurau. Kedua, mungkin mereka tidak memahami mengapa jalan dibina secara berkelok-kelok.
Kereta sebenarnya mempunyai kuasa enjin yang terhad, dengan operasi enjin (RPM) berputar pada parameter yang tertentu sahaja. Oleh itu, enjin akan dipadankan dengan transmisi 4, 5, 6 kelajuan sama ada manual atau automatik mahupun CVT.
Transmisi ini akan menggandakan kuasa enjin menjadi 2 atau 3 kali ganda berbanding dengan kuasa asal enjin. Bayangkan kereta dengan 5 penumpang dan barang-barang yang memenuhi ruang kargo, adalah agak sukar bagi kereta yang kurang bertenaga untuk mendaki bukit sekiranya bukit terlalu curam.
Jadi, jika jalan dibina terlalu lurus dari puncak bukit sampai ke kaki bukit, jalan ini akan menjadi terlalu curam dan terlalu sukar untuk dilalui oleh kereta penumpang biasa apatah lagi lori yang membawa muatan yang berat.
Bagi mengatasi masalah ini, jurutera awam akan menghadkan kecerunan jalan kepada 10-20% bagi kebanyakan jalan raya di Malaysia. Namun, bagi kebanyakan jalan, ia hanya terhad kepada 10%. 10% bermaksud, bagi setiap pejalanan 10 meter akan berlaku perubahan ketinggian sebanyak 1 meter.
Sudut ini agak selesa dan boleh dilalui oleh mana-mana kenderaan dengan selamat untuk mendaki. Namun dari segi menuruni bukit juga, sudut ini membenarkan semua kenderaan turun dari puncak bukit dengan selamat. Ingatlah, semakin tinggi bukit yang didaki, semakin tinggi tenaga kinetik yang dihasilkan oleh kenderaan.
Kenderaan yang menuruni bukit perlu membrek dengan tenaga kinetik tersebut yang akan ditukar kepada tenaga haba yang terkumpul pada sistem brek. Haba yang terlalu banyak akan menyebabkan brek kehilangan kecekapan membrek disebabkan oleh haba dan mengganggu pekali geseran brek.