“5 tahun dah aku tidur bawah guna toto, aku geli tidur atas tilam bekas suami tidur dengan perempuan lain”

Photo of author

By Joe

“5 tahun dah aku tidur bawah guna toto, aku geli tidur atas tilam bekas suami tidur dengan perempuan lain”. Salam semua. Ini aku lagi, Zati. Sambungan dari confession aku yang lalu. Aku perasan setiap kali aku balik dari pasar, terserempak jiran, dia akan jeling aku. Rupanya dia skandal dengan suami aku.

Beberapa hari lepas, balik dari mahkamah, aku menaip panjang. Meluah semua yang terbuku. Aku simpan dalam draft. Aku copy semua dan hantar ke sini. Pelik juga selepas dipublish perenggan, susunan cerita dan ejaan aku jadi terabur lebih teruk dari yang ada dalam otak aku, haha.

Ini kali ke 2 aku berkongsi dan maaf cerita aku sedikit panjang. Aku baru dapat panggilan tarikh kaunseling, 9 pagi esok. Tergerak nak buka page ni dan jumpa kisah aku. Ngam-ngam kat luar hujan lebat, lebat lagi air mata aku baca doa dari semua.

"5 tahun dah aku tidur bawah guna toto, aku geli tidur atas tilam bekas suami tidur dengan perempuan lain"

Terima kasih beri kekuatan kata-kata semangat. Terima kasih juga yang memberi teguran dan nasihat. Semoga Allah kembalikan doa-doa kalian dan semoga juga perempuan di luar sana tidak terima nasib macam aku.

Yang bertanya suami aku handsome sangat ke? Jujur kata, dulu aku tak tertarik dari rupa dia. Dia ada air muka, campuran arab dan cina. Tapi tak seperti pak arab, juga tidak secantik orang cina. Aku dan suami sama tinggi, 170 cm, sama size baju M, seluar, dan kasut.

Aku kategori besar untuk perempuan dan suami kategori kurus untuk lelaki. Aku dulu bekas atlet dari zaman sekolah sampai universiti. Boleh bermain semua sukan. Bola jaring, bola baling, bola tampar, badminton, tapi tidak menonjol sahaja lah.

Dulu buat keputusan berkahwin bukan atas dasar desperate. Aku tak plan nak kahwin awal. Waktu tu otak dan jiwa aku kosong. Follow the flow. Kalau kata aku pilih handsome, sebelum berkahwin ada lelaki tinggi dan lebih handsome yang aku berkawan. Waktu tu dia belum ready untuk kahwin. Aku pun sama.

Cuma dengan suami, waktu itu aku kira dia seorang yang menjaga agama, solat tak tinggal. Beza umur 6 tahun, aku ingatkan lebih matang, rupanya tidak juga. Dia berani bawa umi abah dia datang rumah dan terus bincang hal kahwin.

Sebulan selepas umi abah dia datang, kami bertunang. Empat bulan kemudian terus nikah. Semua berlalu dengan sangat laju. Malah sekarang dah 5 tahun pun aku tak rasa masa bergerak. Tahun pertama kami diuji kewangan.

Suami terpaksa bayar hutang abah dia berpuluh ribu juga. Aku diamkan. Malah aku pujuk suami supaya ikhlas sebab abah dan umi dah banyak berhabis waktu dia belajar dulu. Suami anak lelaki sulung, aku rasa dia lebih wajib dipertanggungjawabkan urusan umi abah daripada kakak-kakak dan adik-adik dia.

Pernah kami beli burger tepi jalan sebiji sebab tak cukup cash. Tapi abang burger tu bagi kami 2 biji. Sampai sekarang aku ingat abang tu. Semoga rezeki dia melimpah dan tak akan putus. Hutang abah habis dibayar, rupanya menyempat juga dia salur duit kepada perempuan-perempuan dia.

Tahun kedua selepas aku mengadu depan umi abah yang dia tak memberi nafkah tapi perempuan lain laju dia tabur duit. Sejak tu baru dia beri. Tapi tak tiap bulan, tak menentu jumlah dan tak pernah on time. Simpanan aku tak banyak tapi sentiasa cukup.

Siap belanja barang dapur rumah mama abah beratus tiap bulan. Penuhkan barang basah rumah aku dan makanan kucing aku. Ada masa rindu keluarga jauh, sengaja aku hantar makanan untuk anak-anak sedara aku. Ada masa aku tolong tambah bayar service kereta.

Pelik, macam banyak duit tapi hakikatnya alhamdulillah mencukupi. Perempuan yang minta berikan nama anak tu ada suami. Suami aku tak mengaku itu anak dia. Bagi dia itu hanya perbualan sesama kawan. Mereka berkawan dari perempuan itu bujang dan sekarang sudah memiliki tiga anak.

Bukan hanya perempuan itu yang sudah bahagia dengan kehidupan sendiri, perempuan lain yang pernah dengan suami juga ada yang sudah bertunang, bernikah, dan memiliki anak. Aku yang menyaksikan kisah mereka dengan suami masih lagi dalam sangkar.

Kenapa terlalu lama, 5 tahun bertahan. Seperti awal yang aku katakan, aku betul-betul tak sedar masa berlalu terlalu laju. Sehari aku menjerit, marah, menangis, penat, tidur, esok aku heal sendiri dan buat kerja rumah seperti tak ada apa-apa berlaku.

Tetap bangun gosok baju kerja suami, masak makanan suami, kemas rumah dan cuci tandas kucing. 5 tahun aku buat apa? Aku selesaikan master dan mengambil beberapa kursus online. Selama 2 tahun pandemi COVID-19, aku sibuk menjadi sukarelawan awam membantu pengagihan vaksin dan mengemaskini sistem pesakit.

Semua kesibukan itu membuat aku tak rasa masa bergerak. Suami juga sudah biasa kalau aku marah dan mengamuk, sebab itu dia ulang dan ulang seperti tak bersalah. Suami usik sedikit aku tersenyum sudah borak balik seperti biasa. Dia tidak pernah merasa apa yang dia lakukan salah. Aku yang salah, kerana tidak memberi hak suami.

Maafkan? Tidak. Aku tidak maafkan malah aku tidak pernah lupa. Hidayah, Zety, Farhanah, Anis, Chan, Fazreena, dan beberapa lagi. Semua aku ingat muka dan aku juga tahu di mana nak cari mereka. Aku memiliki sedikit ilmu hacking. Itulah sebabnya aku sentiasa boleh akses hp suami.

Aku penat untuk bersedih yang lama, tidak ada siapa yang pujuk. Penat untuk mogok, aku sendiri yang pening rumah bersepah, gastrik dan migrain semuanya aku cari ubat sendiri. Suami berkata, dia sudah memberi duit, belilah sendiri.
5 tahun tidak disentuh suami. Kami pernah mencuba. Tetapi trauma aku datang, terus teringat gambar suami seperti flashcard dalam otak. Tilam yang ada di rumah ini tilam dia bersama perempuan itu. Suami tidak mahu buang, atas alasan dia beli mahal.
Sudah mencuba lapik tebal dan beli alas mahal, tapi aku masih tidak boleh lupa. Sakit. Aku tidur atas lantai toto Narita seperti orang Jepun selama 5 tahun. Nak beli tilam sendiri, tapi suami tidak izin. Aku pernah kena marah di mall depan orang ramai kerana aku nak beli tilam murah. Suami nak tilam mahal tapi belum mampu.

Aku tidak mampu berdebat bila suami cakap lelaki perlu keluarkan kalau tidak akan sakit. Itulah sebabnya dia cari perempuan-perempuan sebagai mainan. Aku pun mahu, tapi aku tidak boleh lupa. Kalaulah otak boleh pilih mana yang perlu dihapuskan, aku buat.

Tiap hari aku pakai seksi, tak juga diperlakukan selayaknya. Akhirnya aku buat baju harian saja seolah-olah tak ada apa-apa. Suami ejek aku gemuk, sedangkan perempuan dia text ada jauh lagi gemuk dari aku. Ejek aku papan, rupanya ada juga perempuan papan yang dia layan.

Pernah juga tanya kenapa suami tak nak lepaskan aku walaupun dah 5 tahun macam ni. Dia cakap dia tak nak menyesal. Kenapa baru sekarang aku bertindak? Semua bermula dari balik raya rumah nenek, aku kena tegur pakcik dia sebab tak panggil suami tidur sama.

Masa bulan puasa lagi dah kantoi, aku diam tak tunjuk apa depan keluarga. Dekat rumah nenek, kantoi lagi. Masa ni aku mengamuk dekat rumah family dia, depan umi abah. Tak lama kantoi lagi masa dia bawa aku bercuti, jam 3 pagi aku terjaga dia tak ada dekat sebelah.

Dia pergi kursus aku tak ikut, rupanya naik genting check-in, kantoi aku jumpa dalam apps Agoda dia. Semua trek record kalau tengok balik setiap bulan dia ada kes. Last aku beri dia peluang bulan lepas, aku minta maaf dengan dia selama 5 tahun tak jadi isteri yang dia nak.

Aku minta maaf juga sebab aku punca dia cari perempuan toys dia. Aku tak yakin kalau aku beri apa yang dia tuntut, dia akan berhenti cari perempuan dan dia juga tak yakin aku. Peluang terakhir gagal juga. Kantoi lagi waktu aku cuba buka Agoda dia cuba cari tempat honeymoon yang kononnya ingin reset balik hubungan kami. Resit dia pernah booking hotel ada.

Kemudian aku jumpa text dia tanya berapa hantaran dengan perempuan yang dia kata kawan lama. Atas alasan saja nak tahu berapa hantaran kebanyakan perempuan sekarang. Perempuan tu minta 30k. Bukan tentang hantaran sahaja, ada juga terselit yang kotor.

Dari awal kahwin dia dah cakap niat nak poligami dengan aku. Aku bukan benci poligami, tapi aku benci lelaki yang main-main dengan hukum agama. Masa viral kisah abang Tesla, aku terasa sebab aku juga tak berikan zuriat untuk suami. Aku bodoh baru berani sekarang.

Aku juga nak merasa punya anak dari rahim sendiri. Aku masih sihat. Tak pernah senggugut, period selalu on time. Penderma darah tiap 3 bulan. Aku tak nak anak aku rasa macam yang aku pernah rasa. Lihat mak menangis, ayah curang.

Umur aku sekarang semakin meningkat. Masa depan bab anak aku tak nampak kalau masih bersama suami. Beberapa hari ni rasa lemah badan. Tak tahu punca, bangun tidur peha dan betis aku lebam-lebam, bukan lebam yang macam gigi pelesit.

Lebam macam kena pukul dengan besi atau jatuh tempat tinggi. Bergaris panjang dan besar. Lengan dan bahu aku pun lenguh rasa macam kena kepit kena himpit. Aku dah google. Yang aku jumpa selain dari gigitan pelesit dan tanda-tanda kanser, dinding pembuluh darah rapuh akibat dari kepenatan terlampau dan tekanan psikologis. Aku percaya sebab yang ketiga tu.

Aku tak ada selera, tapi aku paksa diri untuk makan. Perabot yang aku beli dengan duit aku, aku jual. Macam pisang goreng panas, laju kena sambar. Barang elok, modern estetik tapi aku jual dengan murah. Aku tak nak barang aku tinggal dalam rumah ni dan diguna perempuan lain.

Rumah semakin lapang. Suami semakin terasa yang kali ni aku betul-betul tekad. Kebetulan semua kereta suami pula rosak dalam minggu ni. Satu tangki radiator pecah, satu sistem kereta rosak, satu lagi bateri perlu ganti.

Minggu ni rumah aku sugul. Aku dah mula fikir nasib kucing aku. Bukan aku tak nak bela dia lagi, tapi aku sendiri belum tentu duduk mana esok. Tinggalkan dengan suami, aku kesian nanti dia tak dapat ikan rebus. Suami tak manjakan kucing macam aku.

Esok sesi kaunseling pertama kami. Doakan aku lagi ya. Mungkin aku akan sambung lagi selepas proses cerai kami selesai. Jangkaan 6 bulan lagi. Terima kasih sekali lagi buat semua yang mendoakan dan beri semangat hari tu. Semoga Allah beri korang ganjaran yang lebih baik. Aamiin. – Zati (Bukan nama sebenar)

Baca Lagi:
Lampu isyarat pertama di Malaysia ajak pemandu berzikir sebelum lampu bertukar hijau
“Aku anak luar nikah”- Myra Natasya dedah bapanya, Halim Othman tak pernah berkahwin dengan ibunya
Rakyat Malaysia buat perangai parkir ‘double park’ di Jepun hingga masuk berita utama