Perkhidmatan ‘teksi terbang’ AirAsia akan jadi kenyataan dalam masa terdekat

Photo of author

By Joe

Perkhidmatan ‘teksi terbang’ AirAsia akan jadi kenyataan dalam masa terdekat. Perkhidmatan ‘teksi terbang’ atau seru pandu udara akan mula dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun lagi selepas ekosistemnya lengkap sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, berkata ketika ini masih banyak perkara perlu diperhalusi terutamanya mengenai ekosistem dan peraturan trafik udara.

Beliau berkata, teksi terbang bukanlah satu perkara yang sekadar angan-angan tetapi ia akan menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat.

Perkhidmatan 'teksi terbang' AirAsia akan jadi kenyataan dalam masa terdekat

“Teksi terbang akan tersedia tidak lama lagi tetapi pada masa ini ia masih belum bersedia sepenuhnya.
“Ini kerana, kita masih tiada perincian mengenai harga tiket, ekosistem dan kerangka lengkap sistem trafik udara,” katanya dalam satu temubual bersama Bloomberg TV.

Tony berkata, Capital A melalui cabang perniagaan penerbangannya, AirAsia Aviation Group Limited (AirAsia) bagaimanapun telah melaksanakan beberapa langkah awal seperti tempahan pesawat dan menjalin memorandum persefahaman dengan pelbagai pihak.

Beliau berkata, jika dilaksanakan kelak, ‘teksi terbang akan menjadi pasaran yang besar terutamanya kepada Capital A.

Capital A sebelum ini menyatakan akan menjadi syarikat penerbangan pertama di Asia Tenggara menyediakan perkhidmatan ‘teksi terbang’.

Kumpulan itu juga telah menandatangani memorandum persefahaman dengan syarikat pemajakan pesawat antarabangsa, Avolon bagi memajak sekurang-kurangnya 100 pesawat eVTOL VX4 untuk kegunaan perkhidmatan seru pandu udara.

Kerjasama AirAsia dan Avolon membuka potensi yang besar untuk perjalanan udara jarak pendek dengan pelepasan sifar di Asia Tenggara.

Tony juga sebelum ini pernah menyatakan revolusi industri perjalanan udara yang dilaksanakan AirAsia juga bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu serta pengukuhan ekosistem perniagaan di Malaysia serta negara serantau yang lain.

Baca Lagi:
Umum keluar UMNO, rupanya belum jadi ahli UMNO
Mengajar tanpa tauliah, pengasas Kumpulan Zikir Asmaul Husna dijel setahun denda RM3,000
Kisah makcik beli kek hari jadi, bila ditanya nak tulis apa, jawapan dia buat pekerja sebak