Peniaga nasi kukus raih RM14,000 sebulan jual makanan guna mesin layan diri

Peniaga nasi kukus raih RM14,000 sebulan jual makanan guna mesin layan diri

Peniaga nasi kukus raih RM14,000 sebulan jual makanan guna mesin layan diri. Seorang peniaga nasi kukus tidak menyangka bahawa keputusan untuk menyertai program perniagaan mesin layan diri di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) akan merubah graf pendapatan bulanannya apabila meraih jualan melebihi RM14,000 sebulan.

Mohd Hermi Shahuddin, 47 tahun, berkongsi bahawa kegembiraannya lebih lagi kerana kini dia tidak lagi dihimpit masalah pendapatan tidak menentu seperti yang dialaminya sebelum menyertai program IPR kategori Inisiatif Usahawan Makanan (Insan) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Madani melalui Kementerian Ekonomi pada Mac tahun lepas.

Sebelum menyertai program itu, beliau hanya berniaga secara kecil-kecilan dengan membuka gerai di tepi jalan di kawasan Fasa 3 Bandar Puncak Alam. Beliau juga mengambil tempahan makanan untuk majlis keraian di kawasan sekitar.

Peniaga nasi kukus raih RM14,000 sebulan jual makanan guna mesin layan diri

Menurutnya, beliau menghadapi pelbagai cabaran seperti cuaca buruk, makanan yang tidak habis terjual, serta perlu menutup gerai untuk membawa anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) bertemu doktor. Usaha keras yang dilakukan hanya mampu meraih jualan tidak melebihi RM8,000 sebulan.

“Perniagaan kami sebelum ini penuh dengan cabaran. Pendapatan sering terjejas terutamanya apabila makanan tidak dapat dijual, terutama ketika hujan lebat. Kadang-kadang, modal dan makanan yang disediakan pada hari tersebut terpaksa dibuang,” katanya kepada Bernama semasa meninjau mesin layan diri kendaliannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Selangor kampus Puncak Alam.

Mohd Hermi dan isterinya, Fadilah Hanum Abu, 47 tahun, yang kini mengendalikan perniagaan mesin layan diri di Kolej Angsana 2, UiTM Puncak Alam menganggap penyertaan mereka dalam program IPR sebagai langkah yang memberi hasil. Mereka tidak perlu mengeluarkan modal untuk menyediakan makanan atau membayar sewa kerana semua kos ditanggung oleh kerajaan selama dua tahun.

Mereka menjual pelbagai jenis makanan melalui mesin layan diri tersebut, termasuk nasi lemak ayam goreng, nasi lemak pandan, roti kebab daging, roti sosej gulung, set bebola daging, popcorn ayam, dan nasi ayam pedas. Semua makanan itu dimasak oleh mereka berdua sendiri.

“Semua makanan ini dijual pada harga RM2 hingga RM5, dan untuk mengekalkan kualiti dan rasa, menu-menu ini akan ditukar atau ditambah setiap enam jam sepanjang satu hari.

“Ini bermakna program IPR tidak hanya memberi faedah kepada usahawan tetapi juga memberikan pilihan kepada orang ramai untuk membeli makanan yang sudah dimasak dengan harga yang berpatutan dan murah,” katanya sambil berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat.

Mohd Hermi menyatakan bahawa kini dia dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga kerana perniagaan mesin layan diri itu boleh dipantau dari jauh menerusi aplikasi khas yang membolehkannya mengetahui status stok makanan atau sebarang masalah teknikal yang berlaku terhadap mesin tersebut.

“Saya berasa cukup bertuah kerana dipilih untuk menyertai program IPR daripada ribuan permohonan yang diterima oleh kementerian, dan pastinya program ini membuka peluang baru kepada usahawan kecil seperti saya untuk menjana pendapatan serta meningkatkan nilai jualan sedia ada,” katanya.

Manakala, Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor (UCS), menyatakan bahawa UCS merupakan kampus IPTA pertama yang melancarkan mesin layan diri melalui program IPR Insan yang menjual makanan pada harga RM2 hingga RM5.

Beliau menyatakan bahawa sembilan mesin layan diri IPR kini beroperasi di Kampus Puncak Alam dengan satu lagi dalam proses untuk memulakan operasi. Selain itu, mereka merancang untuk meluaskan inisiatif tersebut ke fakulti dan kolej pengajian lain bagi memberi peluang kepada peserta IPR terpilih untuk menjana pendapatan.

Ahmad Taufek menjelaskan bahawa Kementerian Ekonomi, bekerjasama dengan Bahagian Ehwal Pelajar UiTM, turut menyediakan kursus keusahawanan kepada semua 43 peserta IPR di UiTM seluruh negara dengan UCS sebagai peneraju kepada projek tersebut.

“Kursus ini terdiri daripada modul wajib di mana semua peserta perlu mengikuti kursus literasi kewangan dan modul kedua peserta diberi empat pilihan sama ada mengambil bahagian dalam kursus bantuan makanan, kursus pertanian, kursus perikanan atau kursus transformasi minda,” katanya.

Pada Mac tahun lalu, Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli melancarkan program mesin layan diri IPR dan kerajaan bercadang untuk memperluaskan program ini kepada 5,000 penerima di bawah IPR Insan pada tahun ini. Melalui inisiatif Insan, penerima akan diberikan mesin layan diri di tempat terpilih serta kos sewaan bulanan yang dianggarkan antara RM600 hingga RM800 akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan selama dua tahun.

Baca Lagi:
Kedah anjur Pesta Songkran, ini jawapan ringkas YB PAS buat ramai ‘geram’
Penceramah bebas terpalit kes jenayah rogol didakwa beri khutbah jumaat di Masjid Bandar Sri Damansara
Selepas Dubai langit jadi warna hijau, kini di Greece pula langit bertukar warna jingga
CATEGORIES