Pengantin lelaki ketar kaki naik angin bila dengar serunai dan gendang, last sekali pengsan. Seni bela diri merupakan satu bakat individu yang sudah pasti digeruni musuh dan lawan.
Namun begitu, cabang keilmuan tersebut sering dikaitkan dengan kuasa atau kesaktian terutamanya yang berasal dari rantau Nusantara.
Begitulah apa yang dapat dilihat melalui satu video pendek yang tular di TikTok memaparkan seorang pengantin lelaki seolah-olah hilang kawalan.
View this post on Instagram
Dia yang sedang bersanding di sebelah pasangannya dilihat terketar-ketar kakinya sebelum melompat dari kerusi dan menerpa ke arah hadapan untuk bersilat.
Anak saudara kepada pengantin lelaki tersebut, Nadia Alessya, 19, tampil memberikan penjelasan dan menyatakan bahawa kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang unsur mistik.
“Bukan saka yang datang dan bukan juga ada makhluk halus. Bapa saudara saya itu ada berguru ilmu silat dengan satu kumpulan dekat kampung sebelah.
“Ketika kenduri itu ada alunan serunai dan gendang untuk mengiringi persembahan.
“Benda itu macam trigger sound untuk aktifkan dia punya seni silat,” ceritanya ketika dihubungi mStar.
Menurut Nadia, serunai dan gendang merupakan alat muzik yang sering dimainkan ketika sesi latihan silat kumpulan itu bersama bapa saudaranya.
“Dia tak selalu main silat. Dia cuma main silat bila ada dipanggil untuk event atau majlis. Persembahan kenduri hari tu pun kumpulan dia yang buat sebenarnya.
“Dia memang ketagih nak bersilat. Bila dengar bunyi serunai dan gendang tu waktu kenduri, ‘angin’ dia terus datang.
“Semangat datang membara. Waktu itu juga dia buka silat. Memang tak tertahan,” jelas Nadia.
‘Amukan’ yang datang itu hanya bertahan seketika dan beberapa saat kemudian pengantin lelaki berkenaan rebah di atas tanah, lemah.
“Waktu kenduri itu ada guru dia sekali. Kalau ikutkan nak bagi bapa saudara saya tu lepas angin dekat hujung majlis bila dah selesai semua.
“Tapi dia dah tak tahan sangat. Otak dia dah berserabut. Bila dah lepaskan baru boleh lega.
“Nasib baik saya sempat rakam bila dia tiba-tiba terkam tu,” terangnya.
Kenduri kahwin tersebut dilangsungkan di rumah Nadia yang terletak di daerah Setiu, Terengganu pada 24 Oktober lalu.
Ketika ditanyakan mengapa penduduk setempat seperti tidak terkejut dengan kejadian yang berlaku, Nadia menjawab perkara itu sudah menjadi kebiasaan di sana.
“Budaya silat dekat sini memang kami dah biasa. Orang luar je yang mungkin nampak ini luar biasa.
“Kami ada Silat Tari, Silat Tukat, boxing, Muay Thai. Waktu kenduri kahwin kakak saya pun ada berlaku macam ini juga.
“Isteri pengantin lelaki pun tak terkejut sebab dia orang sini,” katanya.
Selain itu, Nadia berkata hampir keseluruhan ahli keluarganya mempraktikkan silat dan seni itu mengalir dalam darah daging mereka.
Seterusnya, Nadia sempat memberikan pesanan agar warga maya tidak membuat andaian melulu.
“Kalau tak tahu, jangan kecam. Boleh datang tanya kami, kami boleh jelaskan. Benda itu spontan, bukan kami plan sebab nak famous ke apa,” ujarnya mengakhiri bicara.