
Wanita terkejut jumpa patung beruang berisi bekas ‘abu mayat’ di kedai barang terpakai terkenal
Wanita terkejut jumpa patung beruang berisi bekas ‘abu mayat’ di kedai barang terpakai terkenal. Seorang wanita berkongsi detik seram apabila terjumpa satu patung beruang yang berisi bekas abu mayat kanak-kanak di sebuah kedai barang terpakai terkenal.
Menurut perkongsian pengguna Facebook, Fathia Omma Faisal berkata, patung beruang bersaiz besar itu dijumpai anaknya.
Bagaimanapun, dia berasa tidak sedap hati apabila melihat ada sulaman tulisan dalam bahasa Jepun di kedua-dua belah kaki patung tersebut yang dijual pada harga RM20.
“Anak kita kata sedap peluk beruangnya, gebu berat. Tapi tak sedap hati tengok tulisan kat kaki. Kepala dia boleh pusing buka tempat masuk balang abut kot,” katanya.
Kata wanita itu lagi, dia cuba menggoncang patung beruang tersebut dan mendengar terdapat sebuah botol kaca di dalam patung itu.
Sementara itu, terjemahan sulaman itu bermaksud ‘Shiori Ogos 2009, 43.5cm. Terima kasih kerana dilahirkan. Mari kita teruskan hidup bahagia selamanya’.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati semasa membeli barangan di kedai barang terpakai.