Wanita maut selepas makan sardin, lima lagi kritikal. Seorang wanita dilaporkan meninggal dunia akibat keracunan makanan selepas menikmati masakan ikan sardin di sebuah restoran mewah di Bordeaux.
Menurut sumber, selepas pulang daripada restoran tersebut bersama bapa dan suaminya, wanita berusia 32 tahun itu segera ke hospital kerana merasa tidak sihat setelah memakan ikan sardin itu.
Hospital kemudian mengesahkan bahawa wanita tersebut meninggal dunia, manakala bapa dan suaminya berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Bukan itu sahaja, seramai 12 orang pelanggan yang menikmati hidangan sardin di restoran berkenaan turut mengalami keracunan makanan.
Difahamkan, kesemua mereka telah dirawat di hospital dan lima daripada mereka berada dalam keadaan kritikal, malah memerlukan alat bantuan penafasan, iaitu ventilator.
Dalam pada itu, dipercayai mangsa maut itu telah diserang Botulisme, iaitu penyakit saraf serius berpunca dengan makanan yang tidak diawet dengan sempurna, memetik laporan.
Untuk makluman, bakteria yang menjadi punca Botulisme itu boleh menyebabkan kelumpuhan otot untuk beberapa minggu, malah mampu menjejaskan otot penafasan sehingga boleh membawa maut.
Sementara itu, dilaporkan pihak berkuasa Perancis masih menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut terhadap restoran tersebut.