Pelabur antarabangsa mula berpindah ke Malaysia, menteri Indonesia salahkan Malaysia jadi punca Industri Semikonduktor lemah. Malaysia dan Singapura dituduh sebagai punca negara Indonesia gagal maju dalam industri semikonduktor menurut Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia, Airlangga Hartarto.
“Singapura dan Malaysia tidak suka melihat industri itu berkembang di Indonesia, jadi mereka memberi tekanan kepada kita dengan membuat kecoh menggunakan badan bukan kerajaan, supaya kita tidak berjaya dalam industri semikonduktor, ini realitinya,” kata Airlangga dalam satu ucapan sempena seminar ekonomi.
Beliau turut menyatakan, Indonesia hampir berjaya dalam industri tersebut tetapi ia tidak berpanjangan selepas pelabur antarabangsa mula berpindah ke Malaysia.
“Sejak itu Malaysia telah menjadi kuasa besar dalam industri semikonduktor di Asia Tenggara,” katanya.
Menurut catatan Kementerian Perindustrian, Indonesia pernah memiliki kilang pembuatan industri semikonduktor pada tahun 1973.
Industri komponen cip semikonduktor yang merupakan pelaburan daripada dua syarikat multinasional Amerika Syarikat iaitu Fairchild Semiconductors dan National Semiconductors.
Namun, disebabkan masalah buruh, pelabur kilang semikonduktor memilih untuk berpindah ke Malaysia pada tahun 1985.
Sejak itu, pembuatan semikonduktor Indonesia telah kehilangan kedudukan kepada Malaysia. Malah, Indonesia telah menjadi pengimport semikonduktor.
Akhbar perniagaan Financial Times yang berpusat di Britain melaporkan berpuluh-puluh syarikat telah menubuhkan operasi di Malaysia dalam tempoh 18 bulan yang lalu.
Terutamanya di Pulau Pinang, seperti gergasi cip Amerika Micron dan Intel, syarikat semikonduktor Eropah AMS Osram dan Infineon, dan Fengshi Metal Technology yang berasal dari Suzhou, China.