Remaja perempuan 13 tahun reka cerita kena culik dengan van putih sebab tak nak pergi kelas mengaji. Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun didakwa telah diculik oleh sebuah van putih pada Khamis, 2 Mei lalu.
Menurut laporan Harian Metro, rupa-rupanya remaja tersebut hanya membuat cerita untuk mengelak daripada pergi ke kelas mengaji.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan lanjut yang dijalankan mendapati remaja perempuan tersebut sengaja membuat cerita tentang diculik sebelum didapati bahawa cerita tersebut tidak benar.
Menurut beliau, hasil soal siasat dan rakaman percakapan mangsa, saksi, dan siasatan di tempat kejadian menunjukkan ada keraguan terhadap dakwaan penculikan.
“Mangsa juga takut dimarahi oleh pengadu (ibunya) kerana enggan hadir ke kelas mengaji,” katanya.
Siasatan lanjut mendapati ketika tempoh kehilangannya, mangsa berjalan-jalan di Plaza Wawasan Kota Kinabalu sehingga dikesan pengawal keselamatan Wisma Sedco kerana berada lama di dalam bangunan.
Terkini, remaja tersebut sudah diserahkan kepada ibu bapanya dan diberikan nasihat agar tidak mengulangi laporan berkaitan kes jenayah kerana boleh menimbulkan panik, selain itu merupakan satu kesalahan kerana membuat laporan palsu.
“Perbuatan itu juga menyusahkan pihak polis selain membuang masa dan tenaga melakukan siasatan,” katanya lagi.
Terdahulu, remaja itu dikatakan diculik oleh sebuah van putih dan turut mendakwa mulutnya ditutup. Bagaimanapun, dia memaklumkan sempat melarikan diri selepas penculik berhenti untuk membuang air kecil di tepi jalan.