Persembahan Naim Daniel diiktiraf Malaysia Book of Records, ini yang beliau buat dalam persembahan. IDEA persembahan di luar kotak!
Mungkin itu yang boleh digambarkan semasa penyanyi, Naim Daniel mempersembahkan lagu Mainan di Anugerah Juara Lagu ke-37 bulan lalu.
Persembahan yang memukau itu bukan sahaja berjaya menarik perhatian penonton malah diiktiraf Malaysia Book Of Records sebagai artis pertama yang membuat persembahan secara terbalik.
Naim yang juga pelakon drama bersiri, Projek: High Council berkata, pengiktirafan itu merupakan satu pembukaan yang baik buat dirinya sebelum melangkah ke bulan Ramadan tahun ini.
“Hilang dalam kegembiraan sekarang sebenarnya. Satu pembukaan yang baik buat saya sebelum melangkah ke bulan Ramadan tahun ini.
“Terima kasih di atas sokongan dan cinta kalian semua yang telah menyokong kerjaya saya dari awal sehingga ke hari ini.
“Hari ini, satu lagi sejarah tercatat untuk perjalanan saya sebagai anak seni dan ia takkan berhenti di sini, selagi saya menghirup nafas daripada semangat dan doa yang kalian berikan,” katanya menerusi kemas kini di laman Instagram miliknya pada Rabu.
Pada masa sama, Naim turut menyeru kepada semua anak seni untuk terus berani mencuba dalam setiap perkara yang mereka lakukan.
Lagu Mainan ciptaan Firdaus Rahmat, Omar K dan Mas Dewangga serta lirik oleh Arisz Ab Rahman sehingga kini berjaya mendapat 1.4 juta pendengar di laman YouTube.
View this post on Instagram