Pernah lenyap hampir 30 tahun, jalan lama dalam tasik tiba-tiba muncul

Pernah lenyap hampir 30 tahun, jalan lama dalam tasik tiba-tiba muncul

Pernah lenyap hampir 30 tahun, jalan lama dalam tasik tiba-tiba muncul. Jalan lama yang pernah lenyap hampir 30 tahun lalu selepas ditenggelami air akibat pembinaan empangan Timah Tasoh muncul kembali setelah air menyusut akibat cuaca panas ketika ini.

Jalan sepanjang satu kilometer di Kampung Sahabat, Tasoh yang menjadi penghubung Jalan Sahabat ke Batu 12 di sini itu timbul kembali sejak beberapa minggu lalu sekali gus menjadi tumpuan orang ramai berjalan-jalan sehingga ke tengah tasik termasuk menggunakan kenderaan seperti motosikal dan kereta.

Pada sekitar Mac 2016, jalan tar berkenaan juga pernah muncul buat kali pertama akibat fenomena cuaca panas melampau pada masa itu.

Pernah lenyap hampir 30 tahun, jalan lama dalam tasik tiba-tiba muncul

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi berkenaan semalam mendapati jalan tar serta berbatu-batu itu masih dalam keadaan baik meskipun sudah ditenggelami air sejak puluhan tahun lalu.

Malah, kelihatan orang ramai mengambil peluang berjalan-jalan, berkelah selain ada yang melakukan aktiviti memancing serta merakamkan gambar panorama indah.

Pernah lenyap hampir 30 tahun, jalan lama dalam tasik tiba-tiba muncul

Sebagai rekod, empangan Timah Tasoh yang terletak kira-kira 17 kilometer dari bandar Kangar itu pada asalnya menjadi pertemuan antara dua buah sungai iaitu Sungai Timah dan Tasoh dengan dasarnya sebelum itu adalah sebuah kampung, namun, ditenggelamkan bagi mewujudkan sebuah empangan.

Turut ditenggelamkan bersama kampung tersebut pada masa itu ialah masjid, rumah, sekolah dan tanah perkuburan.

Kampung berkenaan terpaksa ditenggelamkan untuk membentuk takungan air dan bagi menyediakan bekalan air domestik atau perindustrian disamping memenuhi keperluan pengairan 2,466 hektar tanah sawah untuk penanaman padi dua kali setahun di kawasan utara dan tengah Perlis.

Projek empangan menelan belanja sebanyak RM77 juta di bawah peruntukan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu Malaysia (IADP) itu dimulakan pada 1987 dan siap sepenuhnya pada 1992.

Empangan atau Tasik Timah Tasoh berkeluasan 20 kilometer persegi itu mampu menakung air sebanyak 40 juta meter padu dan ia berfungsi sebagai sumber bekalan air domestik, pertanian dan kawalan banjir.

Ketika ini, paras air di empangan berkenaan berada pada tahap 27.35 meter iaitu menyusut kira-kira dua meter dari paras normal iaitu sekitar 29.1 meter.

Seorang penduduk sekitar, Aniq Ixanif Mahar Effendi, 38, berkata, pada 2016 lalu, jalan berkenaan juga muncul selepas air tasik berkenaan susut akibat cuaca panas dan ia berulang kembali pada tahun ini.

Katanya, jalan lebih kurang satu kilometer itu muncul di tengah-tengah laluan tasik berkenaan dan boleh dilalui ketika ini dan dia mengambil kesempatan memancing di situ.

Katanya, difahamkan di dalam tasik berkenaan terdapat rumah, kubur dan masjid yang ditenggelamkan masa pembinaan empangan sejak puluhan tahun lalu.

“Cuaca panas ketika ini menyebabkan air mula menyusut sekali gus menyaksikan jalan lama berkenaan timbul dan menarik perhatian ramai. Selain memancing ada yang mengutip siput, mengambil gambar dan berjalan-jalan,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, bekalan air di empangan Timah Tasoh di sini dijangka mampu bertahan kira-kira dua bulan sekiranya cuaca panas berlarutan.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Ir. Mahidi Mahamood dilaporkan berkata, buat masa ini, paras air di empangan berkenaan adalah 27.35 meter, menyusut kira-kira dua meter dari paras normal iaitu sekitar 29.1 meter.

Katanya, bagaimanapun tidak ada arahan catuan air untuk kegunaan domestik dan industri dikeluarkan kerana ia belum melepasi paras kritikal buat masa ini.

Baca Lagi:
Lelaki jumpa duit kertas lama ratusan ribu ringgit, tapi tetap untung besar selepas bank tidak terima duitnya
Anak demam tak dapat masuk asrama, cikgu mesej minta MC, sekali terkejut dapat tahu ibu pelajar sedang korek tabung nak bawa anak ke klinik
Lelaki ini setiap hari menangis bawa motor selepas terbaca WhatsApp isteri dengan lelaki lain
CATEGORIES