Gempar! Bekas ketua polis bersalah edar dadah, dihukum penjara seumur hidup. Bekas Ketua Polis Wilayah Sumatera Barat dihukum penjara seumur hidup kerana mengedar dadah jenis methamphetamine seberat lima kilogram yang pada asalnya dirampas sebagai bahan bukti jenayah.
Mahkamah di Jakarta, Indonesia, menjatuhkan hukuman itu, semalam, selepas mendapati Teddy Minahasa Putra bersalah mengarah pegawai bawahannya menukar dadah rampasan itu dengan ‘potassium alum’ dalam komplot untuk menjual dadah berkenaan secara haram.
Mahkamah diberitahu, Putra kemudian dituduh mengedar methamphetamine terbabit melalui seorang individu awam yang bertindak sebagai perantara.
Media tempatan melaporkan, peguam mewakili Putra ketika ditemui pemberita selepas prosiding, berkata pihaknya akan memfailkan rayuan.
Pendakwa Raya memohon tertuduh dikenakan hukuman mati, namun hakim mengambil kira perkhidmatan Putra selama 30 tahun dalam pasukan polis sebagai faktor mitigasi.
Sebaliknya, Putra diperintahkan menjalani hukuman penjara hingga akhir hayat.