Peniaga runcit dari Terengganu tak sangka menang Mercedes Benz A 200. Mohamad Jefri Mohamad dari Kampung Sungai Rengas, Terengganu muncul sebagai pemenang cabutan utama untuk suku pertama kempen CASA-i Simpan Berganda Menang Bergaya (SBMB 2.0) MBSB Bank dan berjaya membawa pulang sebuah kereta mewah Mercedes Benz A 200.
Mohamad Jefri, 38, yang bekerja sebagai peniaga kedai runcit tidak menyangka akan memenangi cabutan utama selepas menyimpan wang deposit sebanyak RM20,000 dengan MBSB Bank selama dua tahun.
Sementara itu, MBSB Bank mencatatkan peningkatan sebanyak 90 peratus penyertaan menerusi kempen CASA-i Simpan Berganda Menang Bergaya (SBMB 2.0) berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Operasi MBSB Bank, Jesleigh Johari berkata kempen SBMB 2.0 yang bermula pada 1 September 2022 dan berakhir pada 31 Mei depan menawarkan pelbagai hadiah menarik bernilai RM2.4 juta termasuk kereta mewah, motosikal, telefon pintar dan wang tunai.
“Kempen ini yang dijalankan buat kali kedua berikutan kejayaan SBMB 1.0, menunjukkan bahawa pelanggan kami sangat berminat untuk menyertai kempen seperti ini.
“Sejak bermulanya penganjuran SBMB 2.0, kami dapat melihat peningkatan penyertaan sebanyak 90 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Utama Siri 1, di sini ,hari ini.
Mengulas lanjut, Jesleigh berkata penyertaan terbuka kepada pelanggan individu dengan akaun Semasa atau Simpanan-i MBSB Bank, dengan deposit minimum RM100.