Nelayan buat ‘kerja gila’ tangkap buaya tembaga bapak besar

Nelayan buat ‘kerja gila’ tangkap buaya tembaga bapak besar

Nelayan buat ‘kerja gila’ tangkap buaya tembaga bapak besar. Seorang nelayan telah berani menangkap seekor buaya tembaga yang berkeliaran di perairan Pantai Siring, Kampung Pulai, Serkam, pagi tadi.

Nelayan tersebut, Azri Bodot, 44 tahun, telah nekad menangkap ‘sang bedal’ yang panjangnya kira-kira lima meter itu selepas diberitahu oleh beberapa rakan yang melihat reptilia tersebut pada jam 8 pagi.

Azri menyatakan bahawa biasanya, buaya itu hanya melintasi perairan Pantai Siring untuk ke Sungai Kesang atau Kuala Linggi, tetapi hari ini reptilia tersebut memilih kawasan sekitar jeti nelayan sebagai tempat berehat.

Nelayan buat 'kerja gila' tangkap buaya tembaga bapak besar

“Adalah saya dimaklumkan bahawa setiap kali rakan cuba mendekatinya, ia akan mengangkat kepala dan kadang-kala cuba mengejar perahu mereka.

“Namun selepas mempertimbangkan keselamatan nelayan lain serta pengunjung Pantai Siring, saya memutuskan untuk mendekati haiwan tersebut dan menangkapnya menerusi bahagian ekor sebelum mengikatnya dengan tali,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Susulan itu, dia bersama beberapa rakan cuba mengikat beberapa lagi bahagian tubuh reptilia itu bagi mengelakkan ia meronta.

“Ketika saya berusaha mengikatnya, buaya itu beberapa kali meronta kuat sehingga menggigit dan merosakkan sedikit perahu saya.
“Bagaimanapun, dengan bantuan rakan nelayan lain, saya berjaya membawa buaya itu ke daratan sebelum menghubungi pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan orang awam jam 12.04 tengah hari tadi sebelum mengerah tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau ke lokasi.

Katanya, setiba di lokasi didapati haiwan terbabit sudah ditangkap oleh nelayan dan operasi terkawal.

“Pihak kami mendapatkan bantuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, Perhilitan mengesahkan Pantai Siring, Kampung Pulai menjadi antara laluan beberapa buaya tembaga untuk ke habitatnya di muara sungai.

Buaya spesies ‘Crocodylus porosus’ itu biasanya menjadikan muara sungai di sekitar Selat Melaka sebagai habitat kerana ia boleh bertoleransi dengan air tawar dan air masin.

Pantai Siring sememangnya antara kawasan yang merekodkan kehadiran buaya kerana sebelum ini Perhilitan pernah menyelamatkan seekor buaya yang tersangkut pada jaring nelayan pada 4 Jun 2021.

Baca Lagi:
‘Rezeki tak salah alamat’- Budak-budak tunggu depan rumah dapat duit raya daripada kereta sangkut jem
Cik B ‘review’ bilik hotel di Makkah sepanjang 10 hari, terkejut bila dapat tahu harga cecah RM420,000
Suami enggan balik beraya di kampung isteri di Kelantan, disuruh isteri balik sendiri hadap jem 10 jam
CATEGORIES