“Janin dimakan penunggu rumah sewa”, Selama 15 tahun asyik keguguran, pakcik jubah putih beri petunjuk. Siapa sangka, penantian cahaya mata selama 15 tahun bakal berakhir selepas dirinya berjaya mendiami rumah sendiri yang siap dibina awal tahun lalu.
Meskipun bersyukur dengan kehadiran penyeri rumah tangganya itu, Normah dan suaminya, Rosli tetap diselubungi rasa gerun apabila memikirkan perkara yang terpaksa mereka harungi selama lebih 15 tahun.
Berkongsi cerita kepada mStar, ujar Normah, dia sama sekali tidak menyangka akan diselubungi kisah misteri sehingga menghalangnya dan suami memiliki zuriat sendiri.
Malah sepanjang tempoh itu, dia yang kini berusia 39 tahun, menganggap dirinya mandul kerana setiap ikhtiar yang dilakukan untuk hamil tidak berjaya selepas beberapa kali keguguran.
Mengimbau pengalaman mistik yang menimpanya, ujar Normah, dia dan suami hanya mengetahui perkara tersebut hujung tahun lepas iaitu selepas mereka bertemu dengan seorang lelaki tua yang berperwatakan alim ketika sedang bercuti di Tanjung Rhu, Langkawi, Kedah.
“Entah macam mana, ketika saya dan suami hendak pulang ke hotel dari makan malam di Tanjung Rhu, kami didatangi seorang lelaki tua… kulitnya putih bersih dan dia juga memakai jubah serta serban yang berwarna putih.
“Dia menyapa dan tanya keadaan kami berdua walaupun baru bersua muka masa tu. Disebabkan suami saya ramah, maka mereka bersembang sehinggalah akhirnya dia meninggalkan pesan supaya cepat berpindah dari rumah yang disewa selama kira-kira 15 tahun,” ujarnya.
Kata-kata orang tua yang dikenali sebagai Pak Man itu ternyata pelik dan menyebabkan Normah dan suaminya tidak dapat berhenti berfikir sepanjang malam sehinggalah mereka pulang ke Pahang.
Pernah bertanya kepada Pak Man perihal nasihatnya itu, kata Normah, orang tua tersebut bagaimanapun enggan bercerita lanjut sebaliknya hanya berkata setiap yang berlaku di rumah sewa mereka adalah ‘petanda’ tidak baik.
Mengakui sentiasa mengalami insiden buruk, katanya, dia tidak pernah mengendahkan perkara tersebut kerana sememangnya dia dan suami tidak mempercayai perkara mistik seperti hantu dan sihir.
“Memang saya sentiasa ‘dikacau’ lembaga hitam… kadang-kadang dia menjelma di sebelah saya semasa sedang berbaring di dalam bilik.
“Tapi saya bukan jenis ambil peduli dan takut dengan penampakan seperti itu, lagipun dia tidak mengganggu dan mungkin muncul untuk memberitahu keberadaan di rumah sewa tu.
“Pernah juga ceritakan pada suami, tapi dia pun kata perkara yang sama… lembaga hitam tu tak mengganggu jadi tak perlu takut,” ceritanya yang turut pernah ditindih lembaga hitam itu.
Apa yang peliknya adalah, Normah sahaja yang dapat melihat lembaga hitam berkenaan sedangkan suaminya tidak merasakan apa-apa.
Bahkan sepanjang tempoh dia mendiami rumah tersebut, lembaga hitam yang dilihat itu seolah-olah ‘penjaga’ dirinya.
Bercerita lanjut, katanya yang bekerja di sebuah syarikat percetakan di Raub, disebabkan rasa ingin tahu tentang pesanan Pak Man, suaminya menceritakan perihal tersebut kepada beberapa rakan rapat sehinggalah dia dikenalkan dengan seorang ustaz.
Selepas bertemu dengan ustaz dan memaklumkan tentang pertemuan dengan Pak Man serta nasihat yang diberikan itu, ustaz terbabit ingin melihat rumahnya.
Bagaimanapun, seperti ada yang menghalang ustaz daripada datang ke rumah Normah.
Setiap kali ustaz rancang untuk datang, pastinya akan berlaku insiden yang tidak disangka dan paling teruk adalah suaminya terlibat kemalangan.
“Kalau tengok keadaan kereta dan tiang elektrik yang patah, mesti sukar nak percaya yang Rosli masih hidup. Tapi itulah yang terjadi.
“Sehingga akhirnya, ustaz tiba-tiba muncul bersama rakan sekerja suami di hadapan rumah. Memang saya dan suami betul-betul terkejut sebab ketika itu tiada siapa yang memaklumkan akan datang… lagipun keadaan suami kurang sihat selepas kemalangan dan masih dalam tempoh cuti sakit,” ujarnya.
Selepas beberapa ketika ustaz berjalan sekeliling rumah di dalam dan luar, dia akhirnya duduk di hadapan suami sambil mengiyakan kata-kata Pak Man.
“Kata ustaz, rumah sewa yang saya duduki itu telah disihir oleh tuannya sendiri. Meskipun bukan bertujuan untuk membinasakan penghuni, tetapi antara perjanjian adalah setiap janin akan menjadi ‘makanan’ kepada lembaga hitam.
“Menurut ustaz lagi, tuan rumah berbuat demikian kerana itu salah satu cara untuk dia melepaskan ‘belaan’ yang telah bersama keluarganya sejak empat generasi.
“Disebabkan itulah, saya gugur beberapa kali sehingga akhirnya tidak dapat hamil. Ustaz juga nyatakan yang lembaga hitam tersebut ‘meminati’ saya dan kerana itulah saya tidak diganggu dengan perkara menakutkan.
“Ustaz juga ada nyatakan yang lembaga hitam mahu berdampingan kerana telah bersama selama berbelas tahun,” katanya yang turut dinasihatkan berpindah dengan segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Bak kata ustaz, lembaga hitam tersebut tidak senang dengan kehadirannya dan berkemungkinan akan membuat kacau kepada Normah mahupun suami jika mereka berterusan tinggal di situ.
Malah tidak disangka, selepas hampir sebulan kedatangan ustaz ke rumah sewa tersebut, rumah yang dibina sikit demi sedikit akhirnya siap dan mereka segera berpindah.
Tambah Normah, sejak dia pindah keluar, rumah sewa berkenaan kelihatan usang dan suram seperti telah bertahun tidak berpenghuni.
Tuan rumah juga memohon maaf kerana tidak memaklumkan perkara seumpama itu terlebih dahulu.