Anak 13 tahun beli permainan video RM290,000 guna kad debit, ibu menangis tengok akaun bank tinggal 32 sen. Seorang kanak-kanak perempuan berumur 13 tahun di China yang ‘ketagih’ permainan video mencuri kad debit ibunya dan berbelanja besar sebanyak 449,500 yuan (RM290,000) untuk aplikasi di telefon pintarnya.
Kanak-kanak tersebut dilaporkan mula ‘mengikis’ wang ibunya selama empat bulan sebelum perbuatannya dapat dihidu orang tuanya itu.
Si ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Wang dapat mengesan kecurian yang didalangi anaknya itu apabila dia menerima aduan daripada seorang guru sekolah menengah yang memaklumkan anaknya itu terlalu banyak meluangkan masa dengan gajet,
Setelah disiasat, jantungnya hampir gugur apabila mendapati wang dalam banknya hanya tinggal 0.5 yuan (RM0.32) setelah anaknya boros berbelanja tanpa pengetahuannya.
Dalam satu video tular yang dimuat naik dalam laporan berita, Wang, diperhatikan menangis teresak-esak kerana meihat transaksi pengeluaran wang yang dibuat anaknya berkali-kali.
“Saya rasa nak hentak kepala ke tanah apabila sedar apa yang terjadi. Macam mana budak berumur 13 tahun boleh berupaya buat macam tu,” kata Wang yang berasal dari Henan, China,
Ketika disoal oleh bapanya, kanak-kanak itu mengaku dia berbelanja sebanyak 120,000 yuan (RM77,600) untuk permainan video dan 210,000 yuan (RM135,800) untuk pembelian dalam permainan.
Manakala 100,000 yuan (RM64,600) disalurkan untuk membelikan permainan video buat 10 rakan sekelasnya.
Kanak-kanak itu berkata pada mulanya dia enggan megeluarkan duit untuk teman sekelasnya tetapi akur setelah diasak oleh mereka.
“Saya tak berani beritahu guru sebab risau dia akan maklumkan kepada ibu bapa saya tentang apa yang berlaku dan mereka pastinya akan memarahi saya,” kata kanak-kanak tersebut.
Dia menambah yang dia juga tidak tahu akan jumlah wang yang disimpan dalam kad debit tersebut selain tidak menyedari bahawa simpanan itu merupakan hasil titik peluh ibu bapanya.
Menurut kanak-kanak itu lagi, dia mempunyai kata laluan untuk kad debit itu setelah diberikan ibunya sendiri.
Jika dia memerlukan duit ketika ketiadaan ibu bapanya di rumah, dia boleh menggunakan kad debit tersebut.
Wang mengatakan anaknya licik untuk memadam setiap rekod transaksi dalam telefon bimbitnya supaya dia tidak mengetahui apa yang sedang berlaku.
Segalanya sudah terlambat apabila dia dihubungi guru sekolah menengah anaknya.