Wanita kongsi ramalan tahun 2025 kewangan lebih keras, bersiap sedia mulai sekarang. Kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan ramai individu takut untuk menimang cahaya mata.
Malah, mereka yang sudah berkeluarga juga terpaksa berjimat cermat akibat ketidaktentuan ekonomi semasa.
Di TikTok, seorang wanita menjadi tular apabila dia berkongsi ramalannya mengenai tahun 2025 yang dikatakan akan memberi banyak cabaran kepada rakyat Malaysia.
Dia berkata, tahun 2025 akan menyaksikan banyak tarikh penting berlaku dalam tempoh yang singkat, sekali gus memerlukan perbelanjaan yang banyak, terutamanya bagi mereka yang berkeluarga.
“Tahun 2025 akan menjadi lebih ‘keras’ (mencabar), jadi bersiap sedialah. Persekolahan tahun depan akan bermula pada 17 Februari 2025. Ramadan pula dijangka bermula pada 2 Mac 2025.
“Syawal pula jatuh pada 31 Mac 2025, dalam bulan yang sama. Ini bermakna pada bulan Disember, kita perlu bersedia untuk perbelanjaan sekolah. Bulan Januari pula, kita akan menghadapi perbelanjaan untuk puasa dan Syawal yang jatuh pada bulan Mac.”
“Takkan nak tunggu bulan itu baru nak mula menabung? Strategi dan perancangan? Kena buat dari sekarang,” kongsi pengguna TikTok yang dikenali sebagai Isteri Solehah.
Perkongsian wanita itu bukan sahaja menerima lebih setengah juta tontonan, malah turut dibanjiri pelbagai komen netizen.
Menurut netizen, pasangan yang mempunyai ramai anak pasti akan terkesan dengan situasi ini dan dinasihatkan agar mereka bersedia untuk menghadapi tahun 2025.
Berdasarkan kiraan pada kalendar, perbelanjaan dijangka meningkat dari Disember tahun ini hingga April 2025 dan hanya akan kembali normal pada bulan Mei.
“2025 belum nampak bayang, tapi kepala aku dah berdenyut.
“Aku dah mula menangis membayangkan tahun 2025,” tulis netizen.
Malah, ramai yang turut berkongsi tip berguna untuk menghadapi tahun 2025 dengan lebih tenang.
“Saya sudah mula menabung dan mempersiapkan segalanya. Semoga Allah mempermudahkan setiap langkah saya dalam mencari rezeki untuk anak.
“Saya sudah mula membeli baju sekolah untuk anak bagi tahun 2025. Saya mula menabung selepas raya hari itu.
“Saya main kutu, sebulan RM200. Alhamdulillah, itu cara saya untuk mengumpul wang,” tulis netizen tersebut.