Senarai 5 puncak tertinggi terkenal di Malaysia yang ramai tak tahu. Menjelang Hari Kebangsaan hujung bulan depan, Malaysia mempunyai satu lagi pencapaian yang boleh dibanggakan.
Berdasarkan data tempahan terkini daripada platform pelancongan digital Agoda, Kuala Lumpur menduduki tempat kelima dalam senarai destinasi antarabangsa paling popular untuk enam bulan pertama tahun ini, di belakang Tokyo, Bangkok, Osaka, dan Seoul.
Namun, tarikan Malaysia tidak hanya tertumpu kepada Kuala Lumpur. Bandar lain seperti Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, dan Melaka juga merupakan tumpuan utama bagi pelancong antarabangsa.
Menjelang bulan Merdeka ini, Agoda memperkenalkan ‘puncak’ terkenal di Malaysia, di mana setiap satunya menjadi lambang kegemilangan, warisan, keindahan alam semula jadi, dan pemandangan yang menakjubkan.
Merdeka 118 – Puncak seni bina moden
Latar langit Kuala Lumpur baru-baru ini telah bertukar wajah dengan perasmian Merdeka 118, sebuah bangunan pencakar langit setinggi 118 tingkat dengan ketinggian 678.9 meter, menjadikannya bangunan kedua tertinggi di dunia, hanya diatasi oleh Burj Khalifa di Dubai.
Dinamakan sempena Kemerdekaan Malaysia, puncak Menara Merdeka 118 mencapai ketinggian 700.9 meter di atas paras laut, mengukuhkan kedudukannya sebagai bangunan tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara.
Terletak berhampiran dengan Stadium Merdeka, tempat di mana pengisytiharan kemerdekaan dilaungkan, bangunan ini mempunyai nilai sejarah yang tinggi dan melambangkan kegemilangan serta aspirasi moden Malaysia.
Pelancong boleh melawat dek pemerhatian untuk menikmati pemandangan latar langit bandar metropolitan yang indah ini apabila ia dibuka kelak pada hujung tahun ini.
Gunung Ledang – Puncak Kisah Cinta Teragung
Di Johor, Gunung Ledang, yang juga dikenali sebagai Gunung Ophir, tersergam indah di Taman Negara Gunung Ledang.
Dengan ketinggian 1,276 meter, ia merupakan puncak tertinggi di negeri tersebut dan kaya dengan khazanah alam semula jadi serta kisah dongeng yang mempesona.
Gunung ini terkenal dengan Legenda Gunung Ledang, yang mengisahkan seorang puteri mistik yang menetapkan syarat-syarat mustahil untuk menerima pinangan Sultan Melaka.
Gunung Ledang terus menarik kunjungan pelancong yang tidak sabar untuk menerokai denai ke puncaknya dan merasai suasana mistiknya.
Gunung Ledang juga menjadi inspirasi kepada beberapa filem, termasuk Puteri Gunung Ledang, lakonan Tiara Jacquelina dan M Nasir.
Bukit Bendera, Pulau Pinang – Puncak Bersejarah
Di utara Malaysia, Bukit Bendera (Penang Hill) terkenal dengan keindahan semula jadi serta warisan sejarahnya.
Ia merupakan sebahagian daripada Rizab Biosfera Bukit Bendara yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan merupakan penyenaraian ketiga Malaysia dalam Rangkaian Rizab Biosfera Dunia.
Dijadikan sebagai pusat peranginan sejak akhir abad ke-18, Bukit Bendera juga mempunyai laluan kereta api funikular yang menuju ke puncaknya.
Perkhidmatan kereta api ini mula dibuka pada tahun 1924 dan telah dibaik pulih pada tahun 2010.
Gunung Kinabalu – Keajaiban Puncak Alam Semula Jadi
Di Borneo, ketinggian Gunung Kinabalu yang mencapai 4,095 meter menjadikannya puncak tertinggi di Malaysia dan puncak pulau ketiga tertinggi di dunia.
Gunung ini terletak di Taman Kinabalu, sebuah tapak Warisan Dunia UNESCO yang terkenal dengan biodiversitinya.
Gunung Kinabalu menjadi habitat kepada pelbagai jenis flora dan fauna, termasuk bunga Rafflesia dan burung enggang yang jarang ditemui.
Dengan lebih 5,000 hingga 6,000 spesies tumbuhan, 326 spesies burung, dan lebih 100 spesies mamalia, ia merupakan antara tapak biologi yang paling penting di dunia.
Bagi mereka yang gemarkan pengembaraan, pendakian ke puncak Gunung Kinabalu merupakan cabaran fizikal dan juga satu pengalaman yang menawarkan keindahan alam semula jadi sepanjang perjalanan.
Menara Taming Sari – Puncak Panorama
Menara Taming Sari adalah mercu tanda ikonik di Melaka dengan ketinggian 110 meter, menawarkan pemandangan panoramik 360 darjah di sekitar bandar bersejarah itu, termasuk tapak Warisan Dunia UNESCO seperti Kubu A Famosa, Bukit St Paul, dan Jalan Jonker yang meriah.
Dinamakan sempena keris legenda Taming Sari, senjata mitos milik pahlawan Melayu Hang Tuah, dek pemerhatian berputar menara ini boleh memuatkan sehingga 80 orang untuk menikmati pemandangan indah bandar raya Melaka dan kawasan sekitarnya.
Menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos depan, Agoda mengesyorkan pelancong tempatan dan antarabangsa untuk membawa pengalaman percutian mereka ke ‘puncak’ tertinggi Malaysia.
Setiap puncak ikonik ini melambangkan aspek unik warisan dan kegemilangan Malaysia serta menawarkan pengalaman percutian yang tiada tandingan.
Cari pakej percutian bernilai hebat dengan mudah untuk cuti hari kemerdekaan yang bakal menjelang nanti.