“183 hari yang panjang”- Nadir Al- Nuri dedah PMX jadi watak utama ‘misi gila’ bawa pulang keluarganya dari Gaza.
183 Hari Yang Panjang :
Hati saya hanya Allah sahaja yang tahu, betapa seluruh jiwa ini tertinggal di bumi G. Anak kecil, wanita dan keluarga berpindah-randah saat rumah kami juga habis dimusnahkan.
Naik turun emosi bila dapat berita jiran, sahabat dan kaum kerabat kami di sana terkorban saban hari. Di sana setiap 10 minit satu jiwa akan syahid! Waktu malam adalah waktu yang sukar untuk memejamkan mata saat mendapat berita ada seluruh keluarga sahabat terkorban akibat bedilan regim yang memang mensasarkan orang awam.
Hasbunallah Wani’mal Wakeel
Dengan segala ujian, Allah pasti bersama kita kerana Dialah selayaknya wakil susah senang hambanya..
Kisah bermula saat G sedang sengit berperang manakala keluarga saya berjaya mengharungi kepayahan dan sampai ke Rafah untuk menyelamatkan diri.
Saya bersama sahabat merangkap kekanda kami, (Dr) Sani Araby MAPIM diberikan peluang bertemu watak utama misi menyelamat sebulan lepas di satu majlis di Shah Alam, beberapa hari sebelum beliau ke Berlin.
Dalam ramainya orang, sempat saya maklumkan keluarga terkandas di Rafah. Beliau hanya sempat membelek kiriman kami, memberikan respon ringkas ‘saya akan bantu’ dan terus menaiki kenderaannya memecut ke majlis seterusnya.
Hati saya mula luluh, mungkin itu bahasa orang politik saja. Namun dalam surat saya, ada saya akhiri ayat dengan ‘Kepada Allah jualah kami berserah’. Saya langsung tawakal dan dan serahkan segalanya kepada Allah.
Sehari sebelum Aidilfitri, saya dihubungi Setiausaha Politik PMX, Tn Farhan Fauzi, watak penting yang mengusahakan misi ini. Sejak awal peperangan beliaulah yang kerap menjemput kami ke pejabatnya di Putrajaya dan selalu menghubungi kami bertanyakan keadaan keluarga dan perkembangan di G.
Kali ini nadanya berbeza, agak serius dan beliau memaklumkan kami untuk datang ke satu lokasi khas. Saya dan (Dr) Sani saja dibenarkan ke sana! Allahuakbar. Ada apa pula ni? Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam movie.
Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan..
Saya sudah biasa melalui perang di G, melihat kehilangan dan air mata serta cekalnya kehidupan. Tetapi misi ini saya katakan ‘Misi Gila’ kerana bukan mudah untuk dikeluarkan keluarga saya saat bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus, malah ketegangan di sempadan juga berlanjutan. Namun secara senyap pemimpin negara menghubungi pihak sana; ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain.
Prosesnya cepat, teratur dan lancar walaupun penuh dengan 1001 cabaran tersirat. Kisahnya akan keluar satu demi satu tetapi tak semua saya berhak untuk kongsikan.
Tetapi watak utama dalam ‘Misi Gila’ ini adalah Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri!
Suka beliau atau tidak, dalam soal P umat perlukan satu ketumbukan. P pernah bergantung kepada garangnya Saddam Hussein, kemudian lantangnya Erdogan. Kini tiba giliran kita dan yang boleh kita banggakan ialah ketegasan Malaysia dalam bersolidariti.
Tindakan PMX menghalang kemasukan kapal milik penjajah ke pelabuhan kita, ketegasan menyatakan sokongan kepada Hms dan mutakhir jawapan berpendirian di hadapan Chancellor German menjadikan nama Malaysia disebut-disebut di kalangan marhaen di jalanan bumi penuh keberkatan selain menjadi bual bicara di peringkat antarabangsa.
Semoga kita terus bersatu membela nasib saudara kita, menjadi jaguh di peringkat dunia dan berani mengiringi kata-kata dengan langkah di alam nyata.
Untuk PMX, PMO, (Dr) Sani dan semua pihak yang menjayakan usaha ini samada secara langsung mahupun mendoakan, kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga.
Semoga Allah sahaja membalas jasa kalian semua, ameen.