Lelaki ini berjaya rakam ruang dalaman Proton X90 (VX11) buat kali pertama sebelum keluaran rasmi. Akhirnya! Foto intip yang paling dinanti-nantikan oleh semua pembaca laman web ini telah pun tiba! Sebenarnya foto ini berjaya dirakam oleh Kamweng Woon dan dikongsikan oleh rakan pembaca kami bernama CW Awei.
Beberapa foto lain juga sempat dirakam dan telah dikongsikan di laman group Facebook khusus untuk ‘membawang’ kami, Geng Funtasticko beberapa jam yang lalu.
Tidak dinyatakan di mana unit ujian X90 (VX11) itu dirakam, namun ia kelihatan seperti di sebuah gerai makan. Sekilas pandang ruang kabin X90 (VX11) nampak mewah dan moden.
Jika diperhatikan pada foto ruang dalaman tersebut, kita dapat melihat stereng, tombol gear, konsol tengah dengan butang kawalan jenis berputar, paparan unit inforia jenis terapung, pembesar suara pintu depan dan kemasan balutan tempat duduk kulit berwarna hitam diselangi jahitan bebenang putih.
Boleh dikatakan hampir keseluruhan ruang kabin menggunakan rona hitam dengan perincian jahitan bebenang putih di beberapa termpat termasuk di bahagian atas corong pendingin hawa yang melintang terus ke bahagian meter serta kemasan tepi pintu.
Ruang kabin X90 (VX11) unit ujian ini boleh lah dikatakan tidak akan jauh berbeza dengan versi pengeluarannya nanti. Segala perinciannya kita dapat lihat termasuk pemegang pintu kemasan krom kusam.
Selain itu, ada beberapa foto lain yang memaparkan beberapa bahagian, termasuk kemasan jeriji bermotifkan Infinite Weave dan Ethereal Bow rekaan serba baharu.
Susunan motif Infinite Weave itu kini lebih halus dan rapat, serta diselangi butiran berbentuk potongan berlian dengan kemasan krom berkilat.
Bukan itu sahaja, kita juga dapat mengetahui saiz dan jenama tayar yang digunakan oleh model pengeluaran X90 (VX11) nanti, iaitu tayar Goodyear 225/55R18.
Ini juga bermakna, saiz rim X90 (VX11) adalah 18-inci dengan rekaan lima jejari berkembar serta kemasan dwitona. X90 (VX11) akan ditawarkan dengan empat pilihan varian, iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship.
Kesemuanya akan dikuasakan oleh enjin 1.5TGDi (1.5 TD) yang telah menerima penalaan semula dan dikatakan mampu menjana 190 kuasa kuda dan 300Nm daya kilas.
Enjin ini digandingkan bersama transmisi 7-kelajuan DwiCekam (7-DCT). Ada enam warna yang bakal menjadi pilihan, iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Cinnamon Brown, Space Grey dan satu warna baharu iaitu Deep Marine Blue.
Ia kini berada pada peringkat akhir percubaan sebelum beralih ke fasa pra-pengeluaran yang dijangka pada bulan Mac nanti. Pelancaran rasminya pula dijangka akan dibuat menjelang pertengahan tahun 2023.