Pertarungan Anwar dan Mahathir belum berakhir

Pertarungan Anwar dan Mahathir belum berakhir

Pertarungan Anwar dan Mahathir belum berakhir. Meskipun sudah menjangkau usia hampir seabad, namun tiada siapa mampu menafikan kesungguhan penglibatan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam arena politik.

Mula terlibat dalam politik sejak 1946, bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu boleh dikatakan antara ahli politik tanah air paling lama dan mempunyai banyak sumbangan di peringkat nasional serta antarabangsa.

Baru-baru ini, Dr Mahathir sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila menyentuh mengenai tempoh 100 hari pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa tiada sebarang perubahan membanggakan mampu ditonjolkan.

Pertarungan Anwar dan Mahathir belum berakhir

Jelas beliau, Anwar hanya sekadar menabur janji untuk membawa perubahan kepada rakyat.

Dr Mahathir dilihat seperti ‘mencari pasal’ dengan Anwar kerana turut menyatakan parti utama bangsa Melayu di bawah Kerajaan Perpaduannya tidak mempunyai kuasa yang utuh terhadap pentadbiran negara.

Ia ditambah dengan dakwaan terhadap kerajaan pimpinan Ahli Parlimen Tambun itu yang berkemungkinan membuat perubahan kawasan pilihan raya dengan mengurangkan jumlah kawasan Melayu berbanding kawasan bukan Melayu.

Umum mengetahui, isu politik antara Mahathir dengan Anwar bukanlah satu perkara baharu.

Kedua-duanya pernah saling berganding bahu, bermula pada 1993, Dr Mahathir ketika itu merupakan Perdana Menteri, melantik Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.

Sehinggalah disusuli dengan pemecatan Anwar pada 1998 yang disifatkan rakyat amat mengejutkan.

Anwar dipenjarakan atas dakwaan kesalahan rasuah dan liwat sehingga menzahirkan gelombang kemarahan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10).

Meskipun demikian, kemarahan rakyat terhadap bekas Ahli Parlimen Langkawi surut seketika setelah jawatannya sebagai Perdana menteri pada masa itu dilepaskan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2003.

Hubungan beliau dengan Anwar dilihat kembali rapat selepas gabungan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpinnya menumbangkan pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sehingga diangkat kembali menjadi Perdana Menteri.

Rakyat sedikit sebanyak mula menaruh reaksi positif terhadap hubungan kedua-duanya, termasuk proses menaikkan Anwar sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan beliau.

Sangkaan tersebut bagaimanapun meleset apabila Dr Mahathir meletakkan jawatan berikutan krisis politik antara parti utama negara pada masa itu yang kemudiannya menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih menjadi Perdana Menteri.

Hubungan beliau dengan Anwar kemudian menjadi tanda tanya dan suram ditambah dengan penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang menjadikan jurang kelihatan semakin besar.

Dengan penyertaan Dr Mahathir dalam Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) baru-baru ini yang disifatkan sebagai pergerakan ultra Melayu itu, pertarungan beliau dengan Anwar nampaknya belum lagi berakhir.

Apa yang menjadi persoalan kini adalah sampai bila perseteruan antara kedua-duanya akan berlarutan.

Baca Lagi:
Suami gaji RM30k sebulan 5 tahun kahwin tak pernah bagi nafkah, aku terpaksa catu susu anak sehari 2 kali
Jurutera Tesla di Amerika Syarikat rupanya anak Malaysia lepasan MRSM Ulul Albab
Lelaki beli burger tengah malam, bila buka bungkusan terkejut ‘beruk’ dapat free gift benda ni
CATEGORIES