Kes wanita pakai ihram rupanya sudah selesai tanpa pendakwaan

Kes wanita pakai ihram rupanya sudah selesai tanpa pendakwaan

Kes wanita pakai ihram rupanya sudah selesai tanpa pendakwaan. Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengesahkan kes berkaitan wanita berpakaian ihram seperti lelaki ketika menunaikan umrah di Makkah yang tular di media sosial, sudah diselesaikan secara baik.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin, berkata kes itu sudah pun diselesaikan hampir sebulan lalu, dengan wanita terbabit juga turut melalui sesi kaunseling.

Beliau berkata, wanita itu tampil bersama ibu dan bapanya di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Perak Tengah di Seri Iskandar dan memberikan kerjasama cukup baik.

“Kes sudah selesai hampir sebulan lalu selepas pihak kita mengambil keterangan serta semua maklumat berkaitan.

“Dia sudah selesai berikan kenyataan kepada kita dengan kehadiran bersama ibu serta bapanya,” katanya selepas merasmikan program Karnival Pendidikan Islam Sepanjang Hayat Negeri Perak (K-PISH) di Dewan Institut Tadbiran Islam Negeri Perak (INTIM), di sini, hari ini.

Kes wanita pakai ihram rupanya sudah selesai tanpa pendakwaan

Ditanya mengenai tindakan susulan, Mohd Yusop berkata, pihaknya mempunyai cara dan pendekatan tersendiri antaranya membabitkan sesi kaunseling.

“Tidak semestinya dalam mencegah sesuatu, ia perlu bersifat suatu hukuman atau tangkap, apatah lagi mendera.

“Ini kerana ada kaedah lain yang boleh kita gunakan, tambahan pula dia dan keluarganya berikan kerjasama sangat baik dengan datang sendiri kepada kita.

“Mudah-mudahan dia sedar kesilapan dilakukannya serta insaf. Pada saya jika dia tidak insaf dan rasa bersalah, dia takkan datang pun kepada kita sebaliknya mereka datang dengan sukarela,” katanya.

Ditanya pemberita sama ada tindakan penyelesaian diambil dapat membuka ruang kepada kes seumpamanya berulang, Mohd Yusop berkata, ia bergantung keseriusan kesalahan berkenaan, selain bilangan kesalahan sama dilakukan secara berulang.

“Kadangkala mungkin kesalahan itu buat tanpa sedar dan tanpa niat serta tiada maksud tertentu, malah mungkin ada kesalahan yang memang sengaja dilakukan di samping dilakukan secara berulang.

“Umpamanya jika didapati kesalahan itu berulang dan sengaja dilakukan, maka sudah tentu tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Sebelum ini tular video mengenai wanita itu di Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki, sehingga mengundang kemarahan banyak pihak yang menuntut tindakan tegas dikenakan ke atasnya.

Wanita itu didakwa menggunakan visa pelancong dan bukan menerusi khidmat agensi bagi mengerjakan umrah.

Baca Lagi:
Pelajar junior dakwa diliwat hampir 2 jam dengan pelajar senior dalam bilik asrama
Pemandu lori maut, papan tanda tumbang atas lori
PRU15: ‘Saya akan bertanding di kerusi pengkhianat’ – Anwar Ibrahim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *