Fadhli Shaari bukan lagi Ketua Pemuda PN. Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden dilantik sebagai Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang baharu, berkuatkuasa hari ini.
Pelantikan itu diumumkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, melalui satu kenyataan hari ini.
Persetujuan melantik Afnan Hamimi yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia dibuat melalui mesyuarat Majlis Tertinggi PN semalam yang berlangsung di ibu pejabat PN malam tadi.
Afnan Hamimi menggantikan penyandang yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari.
“PN mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan menzahirkan penghargaan kepada Yang Berhormat (YB) Ahmad Fadhli Shaari di atas sumbangan serta jasa bakti yang dicurahkan sepanjang memikul amanah sebagai Ketua Pemuda PN dari 26 Januari 2022 hingga 19 Januari lalu,” katanya.
Dalam mesyuarat PN dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, Hamzah berkata banyak perkara disentuh antaranya terkait hal rakyat dan isu semasa.
Ia turut dihadiri Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau serta Ahli Majlis Tertinggi PN yang lain.
“Majlis Tertinggi membincangkan situasi terkini beban sara hidup yang semakin mendesak.
“Ia termasuklah isu kenaikan tarif air dan sebelum suara mendesak kerajaan Persekutuan memberi keutamaan kepada isu ekonomi dengan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Pada masa sama, Hamzah memaklumkan Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat PN dan Pemukiman Pemerkasaan PN akan dianjurkan dalam masa terdekat.
Jelas Ahli Parlimen Larut itu, ia adalah komitmen PN untuk meneruskan agenda pemerkasaan parti.