Empat anggota polis ditahan kerana curi rantai emas wanita meninggal dunia dalam kereta. Empat anggota polis ditahan di sekitar Setapak hari ini berhubung kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia di dalam kereta pada 1 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata siasatan kes itu dibuka semula di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan selepas diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP).
“Susulan daripada siasatan yang dilakukan, pihak polis telah membuat tangkapan terhadap empat anggota polis berkenaan.
“Tangkapan ini melibatkan anggota polis berpangkat konstabel hingga koperal berusia antara 28 hingga 35 tahun.
“Polis juga telah merampas sekeping resit dan seketul logam berwarna kekuningan dengan berat anggaran 11.52 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan bapa mangsa, Syazwan Abdullah, 59, mendakwa barang kemas yang dipakai anak perempuannya yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta di parkir sebuah kondominium di Setapak pada 1 Oktober lalu telah hilang.
Syazwan, yang juga seorang pesara polis, dilapor berkata dia dimaklumkan oleh pemilik rumah sewa anaknya yang berusia 26 tahun itu mengenai penemuan mayatnya pada awal pagi 1 Oktober.
Difahamkan, anaknya ditemukan oleh anggota polis peronda yang sedang membuat rondaan setelah menyedari kereta Proton Saga yang dinaikinya diparkir di kawasan tersebut dalam keadaan berkunci dengan enjin masih hidup dan lampu menyala.
Sebaik jenazah anaknya selamat dikebumikan di Banting, Selangor, dia terdetik untuk mencari rantai, loket, serta gelang emas pemberian nenek dan kakaknya.
Sehubungan itu, kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.