Gara-gara ketagih judi online, isteri siram petrol ke tubuh suami bakar sampai mati. Seorang wanita nekad membakar suaminya kerana berang lelaki itu ketagih berjudi dalam talian sehingga culas melaksanakan tanggungjawab memberi nafkah selama dua tahun.
Kejadian dilaporkan berlaku di Alor, Nusa Tenggara, Indonesia, pada pagi Selasa lalu.
Menurut Ketua Polis Alor, AKBP Suriyadi Rahman, suspek yang berusia 35 tahun pada mulanya menyiram petrol ke tubuh suaminya yang sedang tidur, kemudian menyiram bahan bakar itu ke seluruh rumah mereka.
Suspek kemudian mengejutkan mangsa dan sebaik sahaja mangsa tersedar, suspek terus menyalakan api.
Mangsa segera keluar rumah untuk menyelamatkan diri.
Penduduk yang melihat kejadian itu segera membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Mangsa melecur di seluruh badan sekitar 80 peratus,” kata Suriyadi.
Selain itu, tiga buah rumah, dua motosikal dan sebuah kereta turut musnah terbakar.
Suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Alor untuk siasatan lanjut.