Pertama kali datang ke Terengganu, wanita dari Sabah menang jongkong emas

Photo of author

By Joe

Pertama kali datang ke Terengganu, wanita dari Sabah menang jongkong emas. Seorang wanita dari Tawau, Sabah, tidak menyangka kunjungan pertamanya ke Terengganu membawa tuah apabila dia diumumkan sebagai pengunjung ke setengah juta (500,000) Jambatan Angkat, sekaligus memenangi hadiah utama sebuah jongkong emas bernilai RM15,000.

Lebih bermakna, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, berkenan mengurniakan hadiah jongkong emas itu kepada Suriani Sulleh, 30, pada Majlis Santapan Minum Petang di jambatan ikonik tersebut, di sini hari ini.

Suriani, yang bekerja di Seri Kembangan, Selangor, berkata dia bersama keluarganya berkunjung ke Terengganu pada bulan Oktober tahun lepas, untuk membantu mengambil barangan adiknya yang menamatkan pengajian peringkat Diploma di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini.

Pertama kali datang ke Terengganu, wanita dari Sabah menang jongkong emas

“Ketika itu, saya datang ke Terengganu bersama suami (Rusdi Roslan, 30), anak (Syafiq Rauf, 2 tahun), ayah (Sulleh Kuba, 67) dan adik (Nurul Farhana, 25). Pada 12 Okt 2023, kami mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di sekitar Kuala Terengganu dan Jambatan Angkat, kerana alang-alang sudah berada di negeri ini.
“Ketika hendak mengisi borang kehadiran pengunjung di kaunter Jambatan Angkat, saya terlihat poster mengenai peluang memenangi jongkong emas kepada pengunjung ke setengah juta. Namun, ayah saya memberitahu tidak mungkin salah seorang daripada kami memenanginya, kerana ramai lagi pengunjung di Jambatan Angkat ini,” katanya kepada pemberita.

Namun, pekerja swasta itu berkata dua hari lepas (Rabu), dia dikejutkan dengan panggilan daripada pihak TI Properties, yang memberitahu bahawa dialah pengunjung Jambatan Angkat yang ke setengah juta.

Ibu kepada seorang anak itu berkata, buat masa ini, dia bercadang untuk menyimpan jongkong emas itu sebagai pelaburan pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, berkata hadiah jongkong emas tersebut ditaja oleh TI Properties, anak syarikat Terengganu Inc yang menguruskan pengoperasian Jambatan Angkat.

Beliau menjelaskan bahawa hadiah itu merupakan satu penghargaan daripada pihaknya kepada para pengunjung jambatan tersebut.

“Sejak mula beroperasi pada 2019, jambatan ini telah menjadi antara mercu tanda penting pelancongan di Terengganu dan sehingga kini telah menerima kunjungan lebih setengah juta pelawat,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Selain itu, katanya, kempen ‘Pelawat Jambatan Angkat ke Setengah Juta’ dijalankan oleh pihaknya untuk mempromosi dan menjadikan Jambatan Angkat sebagai salah satu ikon pelancongan utama Terengganu, yang bukan sahaja terkenal di dalam negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Baca Lagi:
Tasik buatan manusia terbesar di dunia kering
Lelaki menangis peluk kereta kesayangan kerana enggan berpisah
“Mama, masjid ni tempat orang tua je ke?” Pertanyaan anak buat wanita ini hampir menangis