Wahab dihukum penjara 2 bulan kerana mengancam adik lelaki dengan pisau lipat. Mahkamah Majistret Ayer Keroh menjatuhkan hukuman penjara dua bulan ke atas seorang lelaki atas kesalahan menyerang adik lelakinya.
Tertuduh, Abdul Wahab Alimun, 56, mengaku bersalah mengancam adiknya dengan menggunakan pisau lipat kerana berang mangsa mengadu dia membawa rakan disyaki penagih ke rumah mereka, minggu lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyerang adiknya, Abdul Wahib, 50, dalam bilik sebuah rumah di Jalan Bukit Rambai di sini, jam 3.50 petang pada 16 November lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga bulan atau dengan denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.
Pada masa kejadian, tertuduh menendang pintu bilik pengadu sambil memaki hamun mangsa yang ketika itu berada bersama isteri dan anaknya.
Tertuduh dikatakan tidak berpuas hati kerana adiknya mengadu kepada ibu saudara mereka bahawa dia membawa rakan ke rumah yang mana pengadu pasti adalah pengguna dadah seperti tertuduh.
Tertuduh kemudian mengeluarkan sebilah pisau lipat dari dalam bajunya.
Pengadu yang berasa terancam membuat laporan polis yang membawa kepada penangkapan tertuduh.
Sementara itu, tertuduh turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan berasingan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah jenis morfin ke dalam dirinya.
Majistret Nabilah Nizam menetapkan 3 Januari depan bagi mendapatkan laporan patalogi.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.