Tengah solat nampak kecurian berlaku depan mata, boleh ke berhenti solat?, ini penjelasan Ustazah Asma’ Harun

Tengah solat nampak kecurian berlaku depan mata, boleh ke berhenti solat?, ini penjelasan Ustazah Asma' Harun

Tengah solat nampak kecurian berlaku depan mata, boleh ke berhenti solat?, ini penjelasan Ustazah Asma’ Harun. Kecurian boleh berlaku di mana-mana sahaja hatta di rumah ibadat sekalipun.

Perkongsian di media sosial sering memaparkan klip video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang jelas memperlihatkan tindakan pelaku yang selamba melakukan perbuatan berkenaan ketika para jemaah sedang khusyuk menunaikan solat.

Mengambil iktibar daripada kes-kes sedemikian, para jemaah dinasihatkan agar memastikan barangan mereka berada di tempat yang selamat dan mudah dipantau.

Namun pasti ramai yang tertanya-tanya, bagaimana jika terlihat pelaku melakukan kecurian depan mata? Apakah hukum jika seseorang berhenti solat?

Tengah solat nampak kecurian berlaku depan mata, boleh ke berhenti solat?, ini penjelasan Ustazah Asma' Harun

Merungkai persoalan tersebut, pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun menjelaskan hukum berkenaan dalam satu hantaran di Facebook.

“Jawapan kepada soalan tersebut ialah, kita dibolehkan untuk hentikan solat fardu yang sedang ditunaikan sekiranya berlaku kecurian sama ada barang yang dicuri itu milik kita atau orang lain,” jelas Ustazah Asma’.

Beliau kemudian tampil dengan penerangan yang lebih jelas berhubung hukum menghentikan solat bagi situasi tertentu:

Larangan membatalkan solat

Allah SWT melarang hamba-Nya untuk membatalkan mana-mana amalan tanpa sebab yang dibolehkan seperti uzur atau darurat. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan janganlah kamu membatalkan amal-amal kamu.” (Surah Muhammad: 33)

Di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyebutkan bahawa:

“Membatalkan ibadah yang wajib tanpa sebab setelah memulakannya adalah tidak harus dengan sepakat para fuqaha’. Hal ini kerana membatalkan ibadah tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak adalah satu perbuatan yang sia-sia dan bersalahan dengan kehormatan solat.” (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah)

Solat hanya boleh dihentikan jika seseorang itu berhadapan dengan apa-apa kesukaran (darurat atau uzur) sehingga terpaksa berhenti melaksanakannya.

Perkara ini merupakan salah satu usul agama Islam dan selaras dengan firman Allah SWT:

Maksudnya: “Allah SWT mahu memberikan kemudahan kepada kalian, dan Dia tidak mahu memberikan kesusahan kepada kalian.” (Surah al-Baqarah: 185)

Perkara ini juga selari dengan satu kaedah fiqh iaitu:

Maksudnya: “Keadaan yang darurat itu mengharuskan perbuatan-perbuatan yang haram.”

Walau bagaimanapun bagi seseorang yang solat sunat, hukumnya tidaklah seberat solat wajib. Pada asasnya, adalah lebih utama bagi seseorang untuk tidak hentikan solat tanpa sebarang sebab, tetapi di dalam Mazhab Syafie keringanan diberikan untuk menghentikan solat sunat walaupun tanpa sebab dan keperluan.

Perkara ini disebutkan oleh Ibnu Hajar di dalam kitabnya Tuhfatul Muhtaj, bahawa:

Maksudnya: “Siapa melaksanakan puasa sunat atau solat sunat dan seumpamanya daripada amalan sunat kecuali haji, maka dia boleh membatalkannya bersandarkan kepada hadis sahih:

“Seorang yang berpuasa sunat berkuasa terhadap dirinya sendiri, jika dia ingin terus berpuasa atau berbuka puasa, maka dia boleh melakukan demikian.”

Justeru itu, diqiaskan hal ini kepada solat dan seumpamanya. Maka firman Allah SWT:

“Dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu, adalah merujuk kepada ibadah yang fardhu.” (Tuhfatul Muhtaj, Syarah al-Minhaj)

Dibolehkan untuk menghentikan solat bagi menyelamatkan nyawa dan harta

Kita dibolehkan berhenti solat fardu apabila melihat orang yang nyawanya dalam keadaan terancam seperti budak terjatuh ke dalam perigi, diserang binatang ganas atau mangsa dipukul oleh penjenayah.

Begitu juga keadaannya apabila rumah terbakar ketika sedang solat.

Maka dibolehkan untuk kita berhenti solat dan menyelamatkan harta-harta yang penting.

Perkara lain yang dibolehkan untuk berhenti solat termasuk:

a) Berlaku kecurian barang, walaupun milik orang lain.

b) Ibu yang bimbang akan keselamatan anak kecilnya.

c) Musafir yang bimbang akan gangguan pencuri.

d) Membunuh binatang berbahaya seperti lipan, ular atau kala jengking saat memerlukan pergerakan yang banyak.

e) Rasa hendak buang air besar atau kecil.

f) Menyahut panggilan ibu bapa (hanya dibenarkan untuk solat sunat, manakala solat fardhu tidak dibenarkan kecuali jika ada hal-hal yang membawa mudarat).

Kesimpulannya, adalah penting untuk mengetahui perkara-perkara yang dibenarkan ke atas seseorang untuk menghentikan solat supaya kita tidak bermudah-mudah dengannya. Semoga perkongsian bermanfaat buat semua.

Baca Lagi:
Sebelum jual kereta, sila menyahaktifkan Tag RFID anda secara ‘online’
Jarang nampak dikaca tv sekarang, ini keadaan terkini Salih Yaacod setiap hari makan telur goreng dan sardin
Kereta Proton Saga muncul dalam siri Mr.Bean akhirnya terjawab

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *