Pondan bertaubat, kongsi kisah mimpi ngeri yang menakutkan

Pondan bertaubat, kongsi kisah mimpi ngeri yang menakutkan

Pondan bertaubat, kongsi kisah mimpi ngeri yang menakutkan.

Mimpi ngeri dibakar hidup-hidup menjadi titik tolak kepada, Mohd. Khairolizan Atan, 43, bertaubat meninggalkan sisi gelapnya sebagai seorang pondan.

Menurutnya, mimpi menakutkan itu membuka matanya untuk kembali ke jalan yang benar dan tidak lagi bergelumang dengan dosa termasuk mahu menukar jantina dan menjadi pekerja seks.

Dia pernah dibuang keluarga ketika usia belasan tahun kerana menconteng arang ke muka Ibu bapanya kerana menuruti nafsu mahu berubah menjadi wanita.

Kehidupannya tanpa pengawasan ibu bapa menjadikan Mohd. Khairolizan atau dahulunya dikenali sebagai Julia semakin liar sehingga bergelar pekerja seks untuk meneruskan kehidupan.

Pondan bertaubat, kongsi kisah mimpi ngeri yang menakutkan

“Duit simpanan hasil aktiviti pelacuran itu saya gunakan untuk pembedahan implan payudara yang dibuat di Thailand pada 1998 dengan bayaran RM4,000 supaya kelihatan lebih cantik.

“Saya pernah terdetik nak murtad kerana benci kepada Tuhan setelah bermacam ujian menimpa yang menghalang saya membuat pembedahan menukar jantina. Pada ketika itu, saya diuji didatangi penyakit serta mimpi ngeri itu.

“Dalam mimpi itu, saya dibakar hidup-hidup dan menjerit meminta pertolongan, namun, tiada seorang pun yang membantu, api itu semakin marak menjadikan saya amat takut.

“Akhirnya, saya memohon dan merayu pertolongan Allah SWT, berkali-kali saya mengucapkan kalimah Allah barulah api yang marak itu menjadi malap dan menghilang. Dari situlah saya sedar kebesaran Ilahi dan memilih kembali ke fitrah asal,” katanya ketika ditemui selepas Simposium Kaunseling Islam ‘Pelangi Islam’ di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar, semalam.

Pada majlis itu, Mohd. Khairolizan diberikan sijil penghargaan yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid, atas usaha aktifnya membantu golongan mak nyah kembali ke fitrah asal mereka.

Mohd. Khairolizan yang juga Presiden Pertubuhan Kebajikan Kembara Hijrah Johor menjadi perantara bagi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dengan golongan terbabit.

Mengimbas semula detik hitamnya, ‘Julia’ menceritakan kegigihannya mengumpul duit berjumlah hampir RM50,000 hasil aktiviti haram itu untuk melakukan pembedahan penukaran jantina dan wajah di Thailand setelah didorong rakan lain untuk tampil lebih jelita.

“Malangnya duit yang saya kumpul itu lesap setelah dirompak dalam dua kejadian berbeza. Maka, terbatal hasrat untuk menjadikan diri lebih feminin seperti rakan-rakan yang lain.

“Setelah difikirkan semula ketika sudah insaf ini, ada hikmahnya pembedahan itu tidak dapat dilakukan. Jika tidak, mungkin saya akan menyesal seumur hidup,” katanya.

Anak kedua daripada 10 beradik itu mula berubah ketika usia 38 tahun pada 2017, walaupun dikecam oleh rakan-rakan lama, namun tetap istiqomah untuk berubah.

Sejak itu, kehidupan yang kembali ke jalan Allah membuatkan dirinya semakin tenang, malah hubungan kekeluargaan kembali bertaut, malah lebih rapat berbanding dahulu.

“Yang mẹmbuat saya lebih bahagia dapat menunaikan impian ayah untuk bersama-samanya dan adik beradik menunaikan umrah pada 2017,” katanya yang sudah membuang implan payudara yang dilakukan sebelum ini.

Kehidupannya kini berkisar mengenai badan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai untuk membantu golongan muda yang berkecelaruan identiti untuk kembali ke pangkal jalan dan fitrah asal mereka.

Pertubuhan itu dianggotai kira-kira 50 ahli, iaitu bekas mak nyah yang sudah insaf selain 600 mak nyah di seluruh negeri ini.

“Pertubuhan membuka pintu untuk mereka mendekati Allah dengan mengadakan kelas mengaji serta kelas fardu ain yang dibimbing JAINJ. Turut diadakan ceramah agama supaya ahli mempunyai ruang belajar agama tanpa prejudis. Alhamdulillah ada antara mereka dalam proses untuk berhijrah,” katanya.

Baca Lagi:

Menu makanan Najib di penjara didedah bekas banduan

Najib mungkin selamat jika 2 saksi penting ini dapat ditangkap – Peguam

Sebelum tinggalkan rumah, kena letak duit syiling dalam ‘freezer’, ini sebabnya yang ramai belum tahu

CATEGORIES