PRK KKB: Calon PN ada hutang RM37,363.00 belum dibayar? Selepas kontroversi mengenai status akademiknya, calon Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Khairul Azhari Saut sekali lagi berhadapan dengan dakwaan hutang yang melibatkan perkhidmatan kredit komuniti.
Namun, pemangku Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor itu mengambil langkah berjaga-jaga dengan enggan memberikan komen mengenai isu tersebut ketika ditanya oleh pemberita selepas Ceramah Perdana PN di Batang Kali, malam Rabu.
Beliau memberikan alasan bahawa perlu bergerak ke lokasi lain walaupun had waktu berkempen dalam setiap pilihan raya hanya sehingga jam 12 tengah malam.
“Tidak ada komen, terima kasih. Saya perlu ke lokasi lain,” katanya dengan ringkas ketika diminta mengulas perkara tersebut.
Sebelum ini, tersebar satu hantaran di media sosial yang mempersoalkan kredibiliti calon PN kelahiran Felda Tengi, Kuala Kubu Baharu itu yang didakwa masih terikat dengan hutang sebanyak RM37,363 dengan syarikat penyedia perkhidmatan.
Sejak hari penamaan calon PRK pada 27 April lalu, Khairul Azhari telah menghadapi kontroversi apabila pelbagai pihak mempertikaikan kelayakan ijazah sarjana tanpa memiliki ijazah sarjana muda.
Mengikuti perkembangan tersebut, beliau melalui hantaran di Facebook telah memuat naik sijil dan transkrip Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Tindakan tersebut pada masa yang sama menamatkan pertikaian banyak pihak selain memberi maklumat bahawa beliau enggan untuk mengulas lanjut demi memberikan tumpuan kepada kempen PRK Kuala Kubu Baharu.