Makan ikan belacak dua alam, ini penjelasan Mufti

belacak e1655180878259

Makan ikan belacak dua alam, ini penjelasan Mufti.

Apakah status dua alam ikan belacak? Jika benar ia bukan haiwan dua alam, adakah ikan belacak halal untuk dimakan?
Tidak semua sumber makanan di dunia ini boleh dimakan. Ada antara tumbuhan dan haiwan di muka bumi ini yang tidak boleh dimakan umumnya seperti khinzir, anjing, tumbuhan beracun dan sebagainya.

Dalam masa sama, ada juga haiwan ‘dua alam’ yang boleh hidup di dalam air dan di darat seperti katak dan buaya yang juga diharamkan untuk dijadikan sebagai sumber makanan.

Di samping itu, terdapat sedikit kekeliruan mengenai ikan belacak yang banyak ditemui di kawasan paya bakau. Ikan ini dipercayai hidup di dalam air, namun kelihatan juga boleh ‘hidup’ di permukaan air.

Kekeliruan yang mungkin timbul adalah mengenai status habitatnya, adakah ia dikira sebagai dua alam ataupun tidak? Jika tidak, adakah ikan belacak ini boleh dimakan?

Bagi menjawab isu ini, kami sertakan jawapan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan status ikan ini sama ada boleh dimakan ataupun tidak.

Ikuti perkongsian di bawah, semoga memberi manfaat kepada semua yang membaca.

Al-Kafi #1879: Status ikan belacak

Belacak min 740x558 1

Soalan:
Assalammualaikum. Ikan belacak atau dikenali dengan nama ikan tembakul boleh hidup di dalam lumpur di sekitar perairan pasang surut. Persoalannya, adakah ikan belacak dikategorikan sebagai 2 alam, bagaimanakah status hukumnya? Berlaku kekeliruan sama ada ia haiwan akuatik atau haiwan dua alam? Mohon pencerahan Mufti.

Ringkasan Jawapan:
Ikan belacak atau dikenali ikan tembakul halal dimakan kerana boleh dikategorikan sebagai haiwan air. Hal ini kerana habitat ikan belacak hidup di air dan hanya mampu hidup di kawasan daratan yang berair sahaja. Bahkan, keupayaan untuk bernafas hanya berlaku semasa ikan belacak lembab dan berfungsi apabila habitatnya sentiasa berada di kawasan yang berair.

Huraian Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Habitat Ikan Belacak
Ikan belacak merupakan ikan afimbia (dua alam), habitatnya di muara pasang surut dengan bersembunyi di bawah rumput laut basah atau dalam kolam pasang surut. Ikan belacak agak aktif semasa di luar air, makan dan berinteraksi sesama sendiri. Tabiat ikan belacak bergerak dengan berkesan di daratan dan juga di air. Keupayaan untuk bernafas melalui kulit, lapisan mulut (mukosa) dan kerongkong (pharynx) hanya berlaku semasa ikan belacak lembab.

Habitat ikan belacak terbatas pada kawasan lembab dan perlu mengekalkan pada kawasan lembab.[1] Ini bermakna, ikan belacak hanya boleh bernafas dan berfungsi apabila habitatnya sentiasa berada di kawasan yang berair dan lembab.

Penentuan kategori haiwan air menurut fuqaha
Panduan penentuan kategori haiwan air adalah apabila haiwan tersebut tidak boleh hidup melainkan di dalam air. Walau bagaimanapun sekiranya haiwan tersebut dua alam yang habitatnya di air dan di darat, maka penentuannya melihat kepada kawasan yang lebih lama boleh hidup dan bertahan. Sekiranya lebih lama di dalam air berbanding di atas daratan, maka dihukumkan haiwan air. Hal ini berdasarkan kenyataan Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari: [2]

مَا يَجْمَعُ مِنْ الْحَيَوَانِ بَيْنَ الْبَحْرِ وَالْبَرِّ إنْ كَانَ اسْتِقْرَارُهُ بِأَحَدِهِمَا أَغْلَبَ وَمَرْعَاهُ بِهِ أَكْثَرَ غَلَبَ عَلَيْهِ حُكْمُهُ

“Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap bertahan hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ, maka hukumnya mengikut kebiasaannya.”

Justeru itu, haiwan yang boleh bertahan di darat namun waktunya terbatas dan hanya boleh bertahan dengan kawasan air maka haiwan tersebut dikategorikan haiwan air.

Berdasarkan fakta habitat ikan belacak yang hanya boleh bergerak aktif di kawasan darat yang lembab dan boleh bernafas ketika keaadaan lembab menunjukkan ia hanya boleh bertahan pada kebiasaan kawasan yang berair. Oleh itu, ikan belacak dihukumkan haiwan air berdasarkan garis panduan fiqh mazhab Syafie.

Oleh yang demikian, semua haiwan hidupan air yang menjadi bangkai halal dimakan berdasarkan dalil-dalil berikut, Firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُه

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut (air), dan makanannya.”

Surah Al-Maidah: (96)

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah bersabda :

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya : “Airnya suci dan meyusikan, bangkainya halal (dimakan)”

Riwayat al-Tirmidzi (69)

Penutup
Ikan belacak atau dikenali ikan tembakul halal dimakan kerana kategori haiwan air. Hal Ini kerana haiwan tersebut mempunyai ciri-ciri haiwan air yang hanya boleh bertahan untuk bernafas dalam keadaan lembapan dan habitatnya kebiasaan di kawasan berair mahupun lembab. Justeru itu, ikan belacak dihukumkan haiwan air berdasarkan garis panduan fiqh mazhab Syafie.

Baca Lagi:

Selepas tanya soalan ‘siapa lagi fikir akan mati di usia muda?’ TikTokers ditemui meninggal dunia

Penarik kereta maut ditetak sekumpulan lelaki guna parang

Dah jadi macam ‘tiger show’, aksi tayang dan tepuk punggung 4 usahawan produk dikecam netizen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *