Kecoh di media sosial 1 USD bersamaan RM6.24, ini penjelasan BNM. Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan bahawa data kadar pertukaran ringgit kepada dolar Amerika (USD/MYR) yang tular di media sosial adalah tidak tepat.
Angka berkenaan dikongsi di media sosial diterbitkan oleh Google pada 5 Februari 2024 menyaksikan 1 USD bersamaan RM6.24.
BNM dalam kenyataan berkata, bagi USD/MYR, kadar pertukaran yang dicatatkan melalui Google itu tidak tepat.
Bagaimanapun, julat perdagangan tinggi dan rendah bagi USD/MYR yang dicatatkan dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit adalah antara 4.7480 dengan 4.7630 pada 5 Februari, seperti yang disiarkan melalui laman sesawang BNM.
Katanya, orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dalam menggunakan sumber yang tidak dapat disahkan sebagai rujukan berhubung ringgit.