Pelajar wanita didenda berlari 30 pusingan keliling padang dikejar ke hospital

Pelajar wanita didenda berlari 30 pusingan keliling padang dikejar ke hospital

Pelajar wanita didenda berlari 30 pusingan keliling padang dikejar ke Hospital.

Memaksa pelajar berlari di tengah panas sambil memakai pelitup muka adalah satu bentuk hukuman yang “kuno” dan sangat tidak wajar, kata Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page).

Ini berlaku selepas seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di Sekolah Menengah Foon Yew di Kulai, Johor dimasukkan ke hospital kerana mengalami jantung berdebar atau palpitasi jantung selepas dia dan rakan sekelasnya diarah berlari 30 pusingan mengelilingi gelanggang bola tampar.

Mereka dikatakan didenda kerana gagal menyiapkan kerja rumah.

Pengerusi Page Noor Azimah Abdul Rahim berkata guru itu perlu ditegur kerana meletakkan pelajarnya dalam bahaya.

“Hukuman sebegini sangat tidak sesuai. Guru telah dibimbing cara terbaik untuk melaksanakan hukuman tetapi ini bukan salah satunya.

“Pelajar itu telah berbaik semula dengan pihak sekolah tetapi yang masih kekal ialah cara hukuman dikenakan ke atas seluruh kelas.

“Guru itu harus ditegur kerana meletakkan pelajar itu dalam bahaya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pelajar wanita didenda berlari 30 pusingan keliling padang dikejar ke Hospital

Azimah menambah, guru harus memberi inspirasi kepada pelajar mereka dan bukannya menghalang pembelajaran.

“Dalam masa yang sama pemimpin sekolah harus cuba memahami mengapa pelajar gagal menyiapkan tugasan yang diberikan kepada mereka.

“Memaksa pelajar berlari dalam cuaca panas dengan memakai pelitup muka adalah sesuatu yang kuno. Guru sebaliknya harus memberi inspirasi dan bukannya menghalang pembelajaran,” katanya.

Semalam, beberapa media tempatan melaporkan bahawa pelajar itu terpaksa dibawa keluarganya ke hospital apabila mengalami debaran jantung.

Dia dikatakan mula berasa tidak sihat selepas berlari 15 pusingan, sebelum guru membenarkannya menyelesaikan hukuman dengan berjalan kaki untuk pusingan selebihnya.

Berdasarkan laporan media, kejadian itu terbongkar selepas ibu pelajar itu menyiarkan gambar mangsa di Facebook disertai butiran tentang apa yang dilalui anaknya di sekolah.

Pengetua sekolah itu dilaporkan memberitahu akhbar tempatan China Press bahawa isu itu telah diselesaikan dengan guru terbabit mengaku salah dan meminta maaf kepada ibu bapa pelajar itu.

SOP jelas

Sementara itu, Kementerian Kesihatan dalam ulasan kepada Malaysiakini menegaskan bahawa prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 terkini yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara membolehkan pelitup muka ditanggalkan semasa aktiviti sukan dan rekreasi.

“SOP yang dikeluarkan oleh MKN cukup jelas bahawa pelitup muka tidak perlu dipakai semasa aktiviti sukan dan rekreasi,” kata jurucakap KKM.

Malaysiakini telah menghubungi KKM dan Kementerian Pendidikan untuk mendapatkan ulasan mengenai insiden itu.

Setakat ini, hanya KKM yang memberi maklum balas.

Masih belum ada jawapan daripada jabatan komunikasi korporat Kementerian Pendidikan.

Mengikut SOP Covid-19 terkini, yang berkuat kuasa pada 1 Mei, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan di kawasan tertutup.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pengecualian, termasuk untuk aktiviti sukan dan rekreasi.

Baca Lagi:

Harga roti canai pula naik

Kena terajang macam bola dekat kepala, bapa nak saman 10 pelajar, termasuk pengetua dan guru disiplin

Anwar sudah, Najib cabar Kit Siang pula berdebat dalam Bahasa Inggeris

CATEGORIES