Harapan bola sepak ke final berkecai

Harapan bola sepak ke final berkecai

Harapan bola sepak ke final berkecai.

Harapan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara untuk melangkah ke final Sukan Sea edisi ke-31 musnah selepas tewas 0-1 di tangan Vietnam pada aksi separuh akhir di Stadium Viet Tri, di Hanoi, malam ini.

Walaupun gagal ke final, pujian harus diberikan kepada skuad kendalian Brad Maloney yang bertahan cukup ampuh sehingga kedudukan terikat 0-0 di minit ke-111 masa tambahan sebelum tandukan penyerang tuan rumah, Linh Nguyen Tien menjadi pemisah.

Ia menyaksikan skuad negara gagal menamatkan kemarau pingat emas yang kali terakhir dimenangi 11 tahun lalu di Sukan Sea 2011 di Jakarta, Indonesia.

Harapan bola sepak ke final berkecai

Dalam aksi itu, pemilihan taktikal dengan menggunakan lima pemain pertahanan membuatkan Vietnam sukar menembusi benteng negara sepanjang 45 minit babak pertama.

Begitupun, tuan rumah yang memburu emas kedua berturut-turut selepas memenanginya di temasya Filipina 2019 lalu hampir meraih gol pertama, namun percubaan Dung Do Hung di minit ke-14 mudah ditampan Azri Ab Ghani.

Sepakan sudut pada minit ke-17 yang diraih skuad negara sedikit mencemaskan kubu tuan rumah apabila ledakan Nik Akif Syahiran dari luar kotak penalti hampir menyumbangkan gol pertama.

Penyerang tuan rumah iaitu Nguyen Tien yang juga salah seorang pemain lebih umur yang disenaraikan memiliki dua percubaan di minit 26 dan 41, tetapi gagal menewaskan Azri Ghani.

Di babak kedua, corak permainan sama diperagakan anak buah Maloney yang lebih banyak menunggu di kubu negara berbanding menyerang.

Kemasukan Hadi Fayyadh Abdul Razak menggantikan Danial Asri di pertengahan permainan sedikit mengubah rentak negara dengan penyerang kelab Jepun, Azul Claro Numazu itu beberapa kali mengundang bahaya di kubu tuan rumah.

Peluang keemasan hadir di minit ke-84 apabila skuad negara mendapat sepakan percuma tetapi tandukan pemain gantian, Safwan Mazlan sedikit tinggi melepasi palang.

Kegagalan kedua-dua pasukan meraih gol dalam 90 minit permainan menyaksikan perlawanan diheret ke masa tambahan sebelum tandukan Nguyen Tien menjadi pemisah.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Thailand meraih kemenangan 1-0 dalam masa tambahan untuk mengatasi Indonesia dan bertemu Vietnam di final, Ahad ini.

Baca Lagi:

Dana bantuan Covid-19 tersilap masuk akaun, RM1.56 juta dihabiskan lelaki ini berjudi online

Rakyat Malaysia perlu bersedia, krisis makanan bukan main-main

Dua individu bertuah dari Sabah menang Toto jackpot bernilai RM 21.8 Juta

CATEGORIES