Bolehkah berdoa memohon dimatikan di Mekah atau Madinah?

Bolehkah berdoa memohon dimatikan di Mekah atau Madinah?

Bolehkah berdoa memohon dimatikan di Mekah atau Madinah?

Andai di bumi suci itu nafasku berakhir, syukur Alhamdulillah. Di sana ada makam Rasulullah s.a.w., para sahabat yang dijanjikan syurga, tabiin dan ulama hebat. Semua mengidam untuk dikebumikan di tanah suci malah berdoa agar direzekikan berakhir ajal di Mekah atau Madinah. Apa istimewanya meninggal di tanah suci berbanding bumi tanah kelahiran? Bolehkah kita meminta untuk mati?

Semua ruang dan masa adalah kepunyaan Allah, di mana kita akan dikebumikan suatu hari nanti jika keimanan hanya pada Allah kukuh di hati, Allah akan rahmati dan membalasnya dengan syurga. Hanya iman faktor penting untuk meraih limpah kurnia Allah.

Tapi dalam Islam juga ada konsep tempat dan hari mulia. Ada tempat yang memang telah dilafazkan di dalam hadis mendapat rahmat dari Allah umpamanya Mekah, Madinah dan Baitulmuqaddis. Ramadan bulan rahmat, Jumaat penghulu hari dan hari Arafah (diampunkan segala dosa).

Bolehkah berdoa memohon dimatikan di Mekah atau Madinah?

Apa saja yang berlaku pada hari mulia atau tempat suci ada keistimewaannya tapi iman masih mendominasi. Jika ada iman barulah ganjaran istimewa sesuatu tempat atau masa dapat dinikmati. Tanpa iman semua ganjaran itu tidak akan berlaku.

Allah telah menyebutnya dalam surah at-Taubah, jika munafik walaupun tinggal dan meninggal di Madinah, ia tidak akan dapat membantunya langsung. Firman Allah,

“Dan di antara orang-orang yang di sekeliling kamu dari orang-orang Arab ada yang bersifat munafik dan (demikian juga) sebahagian dari penduduk Madinah; mereka telah berkeras dengan sifat munafik; engkau tidak mengetahui mereka (bahkan) Kamilah yang mengetahui mereka. Kami akan azabkan mereka berulang-ulang, kemudian mereka dikembalikan ke pada azab yang besar.” (At-Taubah: 101).

Apa istimewanya meninggal di tanah suci Mekah dan Madinah hingga ramai yang mengidamkannya? Pensayarah Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Amzan Satiman, menjelaskan, pertama, tempat itu adalah tanah suci. Kedua tanah perkuburannya.

Ada hadis yang menyebut mulianya meninggal di Madinah. Rasulullah bersabda,

“Sesiapa yang di antara kamu mampu untuk meninggal di Madinah, meninggallah di sana. Sesungguhnya sesiapa yang meninggal di sana aku akan menjadi saksi atau pemberi syafaat kepadanya pada hari kiamat.” (Fiqh us Sunah- Syed Saabiq).

Apabila Rasulullah s.a.w. bersabda demikian maka ada ulama menghukumkan, misalnya Imam Nawawi mengharuskan untuk kita meminta dan berniat mati di Madinah atau di Mekah.

Disebabkan sabda itu juga Umar al-Khatabb pernah berdoa agar direzekikan meninggal di Madinah. Berikut adalah doa yang dibaca oleh Umar ketika mendengar sabda Rasulullah s.a.w.,

“Ya Allah, Engkau rezekikan kepada aku kematian syahid dalam memperjuangkan agamaMu. Dan jadikanlah kematian ku di dalam tanah haram RasulullahMu s.a.w.”

Ada juga riwayat yang mengatakan bahawa para sahabat apabila menunaikan haji akan bersegera kembali ke Madinah kerana mereka takut akan mati di Mekah. Kebanyakan mereka menginginkan meninggal di Madinah kerana hadis tadi walaupun Mekah ada kelebihannya tetapi mereka tetap mahukan Madinah sebagai tempat akhir perjalanan di dunia.

Sebenarnya kita dibolehkan berniat mati dan berdoa untuk mati di Mekah dan Madinah. Namun pada asalnya berdoa atau meminta dan berniat untuk mati itu tidak boleh kalau kerana kesusahan yang menimpa. Ia hanya dibolehkan untuk meminta mati apabila musibah yang menimpa tidak lagi tertanggung oleh badan dengan syarat perlu menyandarkannya kepada Allah.

Doa mati kerana menanggung musibah

Rasulullah pernah bersabda,

“Janganlah kamu bercita-cita untuk mati kerana satu musibah yang menimpa kamu jika tidak dapat elak juga maka berdoalah, “Ya Allah, Ya Tuhanku, hidupkan aku selama kehidupan itu lebih baik bagiku. Dan matikanlah aku selama mana kematian itu lebih baik bagiku.”

Jika musibahnya tidak boleh ditanggung bolehlah meminta mati dengan doa seperti itu. Hidup itu adalah anugerah dari Allah. Sebagai hamba kita harus menikmati setiap anugerah Allah dan sentiasa berusaha untuk mencari reda Allah.

Allah Maha Mengetahui dan Dia tahu apa yang terbaik untuk hamba Nya. Sesuatu keputusan yang dilakukan perlu disandarkan dan berserah kepada takdir Nya.

Sekiranya mati itu lebih baik bagiku kena beralas seperti itu kerana ia ada kaitan dengan iman. Ada juga para sahabat yang menghadapi musibah ketika menyampaikan agama, itulah doa yang nabi ajarkan.

Lagi satu, bagaimana kita tahu bahawa mati itu adalah terbaik untuk kita dan kehidupan itu membawa keburukan. Tidak ada siapa yang tahu apa yang terbaik untuk hamba Nya kecuali Allah. Jadi, doa yang nabi ajarkan itu adalah yang terbaik untuk menjaga iman.

Paling penting kita tidak boleh meminta mati kerana ia adalah sifat putus asa. Di dalam Islam tidak boleh berputus asa dari rahmat Allah. Firman Allah, surah Yusuf: 87

“…dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Allah. sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.” .

Baca lagi: 

[VIDEO] ‘Ayah nekad terus tinggal di Mekah selepas selesai umrah’

[VIDEO] Kisah seorang Pendeta Yahudi menerima hidayah memeluk islam

Persoalan angkat tangan ketika doa khutbah Jumaat, perlu angkat tangan atau tak?

CATEGORIES