Anak Dr Maszlee Malik cemerlang di universiti Qatar, rupanya ini amalan yang selalu dibuat Nusaybah. “Pilih pengajian yang kita minat, insya-Allah akan rasa seronok belajar dan semuanya akan dipermudahkan”.
Itu nasihat Nusaybah Maszlee, 24, penerima Anugerah ‘Suma Cum Laude’ mengiktiraf pelajar paling cemerlang di Universiti Georgetown di Qatar.
Kata anak sulung bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ini, memilih bidang pegajian serta subjek yang diminati sangat penting kerana ia menjadikan proses pembelajaran lebih menarik dan tidak jadi beban.
Katanya, walaupun memilih bidang pengajian dan subjek diminati, dia turut mencabar diri memilih subjek ekonomi, sejarah, sains dan falsafah supaya dapat melihat sesuatu perkara secara holistik serta dari pelbagai sudut pandangan.
“Saya tiada rahsia dan amal petua tertentu. Seperti pelajar lain, saya sentiasa berusaha, berdoa dan tawakal. Pada masa sama, saya memastikan bidang pengajian dan subjek yang dipilih adalah yang diminati.
“Ia supaya proses pembelajaran itu lebih menarik dan tidak menjadi beban ketika dalam kelas dan semasa ulang kaji. Teknik pembelajaran diamalkan juga sama seperti pelajar lain, cuma saya sentiasa pastikan selalu membaca topik yang akan diajar pensyarah sebelum ke kelas.
“Ia bagi membolehkan saya mendapat idea awal topik yang akan dipelajari dan dibincangkan, selain dapat menyumbang dengan aktif dalam proses pembelajaran dalam kelas melalui soalan atau pandangan yang dikongsi bersama rakan dan pensyarah,” katanya ketika dihubungi BH.
Kejayaan Nusaybah menjadi pelajar Malaysia dan Asia Tenggara pertama memenangi enam Anugerah Siswa Cemerlang di Universiti Georgetown, membuktikan rakyat negara ini mampu bersaing dan mencapai kecemerlangan di peringkat dunia.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, semalam turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Nusaybah atas kejayaan itu.
Baginda berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Nusaybah, sekali gus mengharumkan nama Malaysia.
Selain Anugerah ‘Suma Cum Laude’, Nusaybah turut menerima Anugerah Pingat Dekan, Tesis Terbaik, Anugerah Pelajar Paling Cemerlang Pengkhususan Politik dan Hubungan Antarabangsa dan meraih markah cemerlang bagi keseluruhan semester dengan purata gred kumulatif (CGPA) 4.0.
Katanya, bapa dan ibunya, Dr Hamidah Mat, kedua-duanya pensyarah adalah idola utama dirinya sedari kecil.
“Melihat kecemerlangan mereka dalam bidang akademik negara, memberi semangat kepada saya untuk membuat lebih baik dan terus berusaha gigih dalam pembelajaran.
“Nasihat yang sering diberikan mereka adalah sentiasa buat yang terbaik dalam apa jua yang kita lakukan. Melalui pesanan ini, saya berjaya melalui saat-saat genting ketika belajar dan bermastautin di luar negara.
“Ibu bapa juga pendorong utama saya dan adik-beradik lain, malah mereka memberi kebebasan untuk kami membuat pilihan hidup dan menyokong kami sepenuh jiwa,” katanya.
Dalam pada itu, Nusaybah yang sedang membuat persiapan untuk pulang ke tanah air dari Qatar hujung bulan ini, berkata dia mengambil keputusan untuk terus mencari pekerjaan sekembalinya ke Malaysia nanti.
“Saya terbuka dan tidak memilih pekerjaan, tapi keutamaan buat masa sekarang ialah untuk bekerja dan mencari pengalaman dulu. Selepas itu, barulah saya bercadang menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).
“Saya tidak pasti lagi sama ada mahu mengikuti jejak ayah dan ibu menjadi pensyarah kerana saya terbuka pada kemungkinan dan peluang yang datang. Namun yang pasti, saya sentiasa komited untuk pulang dan mahu berbakti kepada negara,” katanya.