Ustaz Budak cium pipi ahli perniagaan lelaki dihukum penjara 13 bulan. Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengekalkan hukuman penjara 13 bulan terhadap seorang pendakwah yang dikenali sebagai Ustaz Budak atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau dengan mencium pipi dan mencabul seorang ahli perniagaan lelaki, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas memutuskan keputusan itu selepas menolak rayuan Syamsul Zaman Sukri, 35, yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara selama tempoh itu di Mahkamah Majistret di sini pada 9 Mac lalu.
Mohamad Abazafree dalam penghakimannya berkata, pihak mahkamah menolak tujuh perkara yang dibangkitkan oleh Syamsul Zaman yang merupakan perayu dalam kes tersebut.
Menurutnya, perayu mendakwa keterangan mangsa tidak boleh dipercayai, namun Syamsul Zaman tidak mempunyai bukti kukuh untuk menimbulkan keraguan dalam kes pendakwaan.
“Perayu juga gagal menimbulkan men srea (niat jahat) dalam kes ini, tetapi alasan penghakiman Mahkamah Majistret termasuk nota keterangan menunjukkan bahawa ada tindakan dan niat perayu terhadap mangsa.
“Justeru, Mahkamah Tinggi berpendapat hukuman yang ditetapkan oleh Mahkamah Majistret adalah tepat dan memadai,” katanya.
Menurutnya, sehubungan itu, Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara 13 bulan yang ditetapkan oleh Mahkamah Majistret di sini, bermula hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Syamsul Zaman yang juga mudir sebuah madrasah tahfiz diperintah untuk membela diri oleh Mahkamah Majistret di sini pada 6 Disember tahun lalu atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau dengan mencium pipi dan mencabul seorang ahli perniagaan lelaki.
Majistret Mohd. Izdham Naim Che Ani memutuskan perkara itu terhadap Syamsul Zaman selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir pendakwaan.
Mohd. Izdham berkata, pihak pendakwaan sebelum ini telah memanggil lima saksi, malah mahkamah turut meneliti keterangan dan hujahan saksi.
“Mahkamah telah membuat penilaian maksimum dan berpuas hati dengan keterangan pengadu dalam kes ini.
“Pihak pendakwaan telah membuktikan kes pramie facie terhadap tertuduh. Oleh itu, tertuduh diarah untuk membela diri,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Syamsul Zaman didakwa melakukan kelucahan melampau dengan mencium pipi serta mencabul seorang lelaki berusia 30 tahun dan perbuatan itu dilakukan di sebuah hotel di sini kira-kira pukul 1.15 pagi pada 16 Disember 2020.