Surat terbuka dari Tun M kepada pengundi. Perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air tetap diteruskan walaupun perjuangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Gerakan Tanah Air (GTA) ditolak majoriti rakyat.
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini tidak bermakna perjuangan mereka tidak benar.
Dalam surat terbuka kepada 4,566 pengundi yang memilihnya ketika bertanding di Parlimen Langkawi, Dr Mahathir berharap mereka yang berada di belakangnya tidak kecewa dan berputus asa dengan kekalahan itu.
“Yakinlah bahawa walaupun kita tidak ramai, ia tidak bermakna perjuangan kita tidak benar. Malahan, kerana berpegang kepada prinsip perjuangan itulah kita kadangkala dipinggir.
“Walaupun saya mungkin tidak kenal setiap seorang dari tuan-tuan dan puan-puan tetapi saya merasa sangat berbesar hati kerana semangat, keberanian dan penolakan rasuah oleh semua untuk memberi undi kepada saya yang mewakili Pejuang dan GTA.
“Atas kesedaran ini, sekali lagi saya ingin ucap berbanyak-banyak terima kasih kerana mengundi saya,” katanya.
Pada PRU15 Sabtu, Dr Mahathir bukan sahaja tumpas di Langkawi, malah hilang deposit selepas sekadar meraih 4,566 undi daripada keseluruhan 48,123 undi dalam pertembungan lima penjuru.
Kerusi itu dimenangi Mohd Suhaimi Abdullah daripada Perikatan Nasional dengan majoriti 13,518 undi.