Pekerja pembersihan mengamuk gaji 3 bulan tak dibayar, longgok sampah 3 buah lori depan pejabat daerah. Berang tidak menerima gaji selama tiga bulan bekerja, petugas pembersihan lancarkan tunjuk perasaan dengan melonggok sampah tiga lori di hadapan pejabat daerah.
Tindakan tersebut dilakukan pada pukul 7.30 pagi, Isnin semasa perhimpunan pekerja berlangsung.
Susulan kejadian itu, Ketua Daerah Seram Bahagian Barat di Maluku, Indonesia, Andi Chandra Assaduddin menghentikan perhimpunan lebih awal.
Menurut wakil petugas pembersihan terbabit, protes diadakan selepas aduan dibuat terhadap pihak bertanggungjawab.
“Gaji sudah tiga bulan tidak dibayar, sekarang hampir memasuki tempoh empat bulan.
“Kami sudah memaklumkan masalah ini kepada ketua tetapi tiada sebarang tindakan yang diambil sehingga kini.
“Disebabkan itu, kami melancarkan tunjuk perasaan,” katanya.
Lebih menyedihkan apabila gaji yang diperoleh RM393 (Rp 1.300.000) sebulan itu, bukan hanya untuk keperluan harian bahkan persekolahan anak-anak.
“Duit diperlukan untuk perbelanjaan harian dan anak sekolah. Gaji itupun tidak cukup… sekarang tertangguh dari Ogos sehingga kini.
“Kami 15 orang sahaja yang masih belum memperoleh gaji. Kerja setiap hari dan tidak kira hujan atau panas, cuti pun tiada,” tambahnya.
Selain melonggokkan tiga lori sampah busuk, petugas juga mendesak supaya gaji mereka dibayar segera.