“Majikan mungkin kurangkan pengambilan pekerja wanita atas faktor cuti bersalin selama 98 hari”. Kementerian Sumber Manusia disaran mengkaji semula pelaksanaan beberapa aspek dalam pindaan Akta Kerja 1955 yang bermula tahun ini.
Ia termasuk waktu kerja yang dikurangkan kepada 45 jam seminggu dan tempoh cuti bersalin sehingga 98 hari.
Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong (Barisan Nasional) berkata, undang-undang baharu itu mungkin berisiko mengakibatkan ketidakstabilan sesebuah syarikat.
Dalam masa yang sama katanya, pelaksanaan cuti bersalin dari 60 kepada 98 hari dibimbangi secara tidak langsung akan mencetuskan diskriminasi pengambilan pekerja.
Ka Siong menjelaskan, majikan mungkin memilih untuk menggaji lebih ramai wanita bujang berbanding ibu hamil atau wanita yang baru mendirikan rumah tangga.
Ini kerana, tempoh cuti bersalin selama 98 hari dilihat majikan sebagai satu tempoh yang panjang.
“Berkenaan cuti bersalin 98 hari. Saya ucapkan tahniah kerana kerajaan mahu menjaga kaum wanita tetapi kekhuatiran saya, kebanyakan majikan apabila melihat ibu mengandung dan wanita baru berkahwin, mereka tidak akan ambil bekerja. Mereka akan cari yang tidak mengandung.
“Sebab cuti bersalin membolehkan wanita itu tidak perlu bekerja selama lebih kurang empat bulan.
“Mungkin hasrat kita baik tetapi akhirnya mendatangkan mudarat kepada ibu muda,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Ka Siong menyifatkan pelaksanaan beberapa perkara dalam Pindaan Akta Kerja 1955 baru-baru ini sebagai drastik apatah lagi mengambil kira pasca Covid-19.
Katanya, pengurangan waktu bekerja daripada 48 kepada 45 jam seminggu akan meningkatkan kos pengeluaran majikan apabila terpaksa membayar upah kerja lebih masa yang meningkat berbanding sebelum ini.
“Selepas Covid-19, kerajaan tiba-tiba laksanakan tiga dasar penting iaitu waktu bekerja 45 jam seminggu, ini akan memberi dasar satu gaji dan Over Time (OT) meningkat.
“Yang lebih memudaratkan syarikat Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (PKS) kecil-kecil apabila kalau dulu kerani dapat gaji RM2,300, kerja sampai jam 7 petang tidak dibayar waktu lebih masa, tetapi selepas Akta Kerja 1955 dipinda, tiba-tiba mereka yang berpendapatan RM2,000 hingga RM4,000 tertakluk kepada pembayaran OT.
“Ini sekali lagi meningkatkan kos pengeluaran. Saya bangkitkan perkara ini, kerana mahu lihat keadaaan yang harmoni di antara majikan dan pekerja,” jelasnya.
Mengakui kerajaan mengambil langkah tersebut untuk memberikan manfaat yang lebih kepada pekerja, namun Ka Siong yang juga bekas Menteri Pengangkutan menganggap situasi berkenaan boleh menjejaskan kestabilan sesebuah syarikat dalam masa yang sama berisiko meningkatkan pengangguran.
Baca Lagi:
Irlandia satu-satunya negara yang tiada seekor pun ular, ini sebabnya yang ramai tak tahu