‘Belum pernah ada pemandu masuk penjara sebab cermin gelap’ – Anthony Loke

‘Belum pernah ada pemandu masuk penjara sebab cermin gelap’ – Anthony Loke

‘Belum pernah ada pemandu masuk penjara sebab cermin gelap’ – Anthony Loke. Belum ada pemandu atau pemilik berdaftar kenderaan yang melanggar peraturan cermin gelap dihadapkan ke mahkamah atau dipenjarakan setakat ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata penegasan itu dibuat bagi memperbetulkan kekeliruan yang disebar menerusi media sosial berhubung hukuman bagi kesalahan terbabit.

'Belum pernah ada pemandu masuk penjara sebab cermin gelap' - Anthony Loke

“Ada pelbagai pihak dalam media sosial cuba beri gambaran dengan mentafsir satu kenyataan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seolah-olah kalau pakai cermin gelap akan dipenjara.
“Itu tak betul. Memang dari segi undang-undang sekiranya mana-mana pihak tak patuh peraturan jalan raya, bila mereka diberi peluang untuk kompaun tetapi tidak melunaskan bayaran, maka boleh dibawa ke mahkamah.
“Itu peraturan umum untuk semua, bukan (kesalahan) cermin gelap sahaja. Hakikatnya, apa yang dilaksanakan sekarang adalah tindakan kompaun.
“Saya sudah dapatkan pengesahan JPJ, bahawa selama ini tidak pernah ada satu kes cermin gelap dibawa ke mahkamah. Begitu juga tak timbul soal salah guna cermin gelap akan dipenjarakan, tidaklah sampai ke tahap itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Loke berkata, kadar denda dikenakan bagi pelanggaran peraturan cermin gelap adalah RM100 sehingga RM250.

Pada 2019, katanya, MOT memberi kelonggaran dari segi kadar ketelusan cahaya (VLT) bagi cermin kenderaan, antaranya kadar ketelusan cermin kenderaan bahagian hadapan ialah 70 peratus manakala cermin sisi kiri dan kanan pemandu sehingga 50 peratus boleh digelapkan.

“Cermin sisi belakang boleh gelap sepenuhnya. Kelonggaran itu antaranya berikutan cuaca panas walaupun ada yang tak setuju kerana jika berlaku kes jenayah, ia sukar dilihat.
“Kita ambil kaedah seimbang iaitu tidaklah gelap semua cermin kenderaan,” katanya.

Loke berkata, pindaan terhadap peraturan itu turut dibuat dengan meletakkan kuasa sepenuhnya kepada Ketua Pengarah JPJ.

Sebagai menteri, beliau enggan terbabit bagi mengelak timbul isu integriti jika ramai yang membuat permohonan.

“Saya serahkan kepada jawatankuasa dipengerusikan Ketua Pengarah JPJ. Sesiapa yang layak boleh hantar permohonan untuk kelulusan.
“Ia bukan percuma. Misalnya, orang kaya yang ada isu keselamatan, bimbang diculik dan memerlukan cermin kenderaan mereka gelap sepenuhnya, jika diluluskan, caj dikenakan ialah RM5,000 untuk tempoh dua tahun,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata, kerajaan mengkaji model pelaksanaan baharu bagi meneruskan cadangan pembinaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura.

Katanya, ia antara lain membabitkan kajian modal bagi mengenal pasti jika ada pihak swasta berminat menampung kos pembinaan jajaran, pengurusan sistem dan pengoperasian HSR.

“Malaysia melalui MyHSR Corp melaksanakan RFI (permintaan maklumat) sejak beberapa bulan lalu dengan banyak syarikat menunjukkan minat dan sudah menghantar kertas kerja.
“Ada juga yang meminta lebih masa untuk memuktamadkan cadangan mereka.
“Perjanjian dua hala dengan Singapura ditamatkan ketika zaman Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri), pampasan sudah diberi, jadi kini kita bebas menentukan hala tuju baharu dan itu sebabnya kita nak cari kaedah pembiayaan yang sesuai,” katanya

Loke berkata demikian sebagai menjawab celahan Muhyiddin (PN-Pagoh) yang ingin mengetahui perancangan masa hadapan kerajaan berkaitan pembinaan HSR yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.

Selepas RFI diselesaikan dan kaedah pembiayaan sesuai dikenal pasti, beliau berkata, cadangan pembinaan HSR akan dibentang kepada Kabinet bagi mendapatkan persetujuan sebelum dibincang bersama Singapura.

“Walaupun perjanjian awal sudah ditamatkan, perbincangan dengan Singapura tetap perlu dilakukan bagi perancangan baharu.
“Malah, sebarang keputusan masih memerlukan persetujuan negara jiran itu kerana prinsip yang dipersetujui bagi pembinaan HSR ialah ia menghubungkan kedua-dua negara.
“Kalau hanya sampai ke Johor Bahru, ia tidak akan berdaya saing kerana tidak menghubungkan dua bandar raya utama di ASEAN,” katanya.

Loke berkata, sebarang perincian cadangan model pembiayaan HSR perlu diteliti sebaiknya bagi memastikan ia memberi kelebihan kepada Malaysia memandangkan sebahagian besar landasan projek itu terletak di negara ini.

Baca Lagi:
Ibu mentua anggap bukan wanita sejati sebab beranak czer, suami ceraikan isteri sebab ikut cakap ibu
“Aku membesar di rumah anak yatim, setiap kali ada keluarga datang nak ambil anak angkat, aku berharap sangat mereka pilih aku”
Wanita rakam semut buat sesuatu dalam rumah, rupanya satu petanda nak banjir
CATEGORIES