Bekas pelajar UNITEN tak malu jual teh masala atas basikal kerana sebulan raih pendapatan cecah RM100,000

Photo of author

By Joe

Bekas pelajar UNITEN tak malu jual teh masala atas basikal kerana sebulan raih pendapatan cecah RM100,000. Kisah Kavievanan Subramaniam, seorang graduan kejuruteraan mekanikal yang menjadi penjual teh bergerak di ibu kota Kuala Lumpur, pernah tular dan menarik perhatian masyarakat Malaysia semasa negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

Pada masa itu, Kavievanan, atau lebih mesra dipanggil Kavi, terkenal dengan penyediaan teh masala—teh tradisional dari India yang dicampur dengan rempah aromatik seperti cengkih dan kayu manis. Teh tersebut mendapat sambutan menggalakkan di sekitar Brickfields dan Masjid India.

Bagaimanapun, jualan yang pada awalnya bertujuan untuk mengisi duit poket sementara menunggu panggilan kerja telah semakin berkembang dan mendatangkan pendapatan yang cukup baik.

Bekas pelajar UNITEN tak malu jual teh masala atas basikal kerana sebulan raih pendapatan cecah RM100,000

Kini, perniagaan yang diusahakan oleh Kavi, atau lebih dikenali dengan jenama Tea Thambi, sudah memiliki dua kafe dan lima gerai yang semuanya beroperasi di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.

Berkongsi kepada Majoriti, Kavi yang merupakan graduan daripada Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) berkata, untuk menampung pengembangan operasi perniagaannya, dia kini dibantu oleh 17 pekerja dan sebuah dapur pusat yang terletak di Segambut.

“Kalau dulu, waktu mula-mula saya boleh jual tak sampai 100 cawan sehari, sekarang ini kami boleh jual dalam 2,000 hingga 3,000 cawan sehari,” katanya.
Selain daripada rasanya yang autentik, teh masala Tea Thambi juga popular kerana harganya yang cukup berpatutan, bermula dari RM1 hingga RM4.

Setahun diambil untuk menyempurnakan resipi teh masala tersebut.

Menurut Kavi yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur, semasa mula mengambil keputusan untuk menjual teh berkenaan, dia pada awalnya belajar resipi daripada ibunya.

Pada masa yang sama, dia juga mengambil maklum balas daripada pelanggannya untuk menyempurnakan resipi teh masalanya.

“Masa jual itu, ada pelanggan yang berkata ini terlebih, ini terkurang. Jadi, ia seperti trial and error juga. Setiap hari saya eksperimen.

“Saya ambil masa setahun juga sebelum dapat rasa yang semua orang suka dan kekal sampai sekarang,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.

Kavi berkata, teh masala diperbuat daripada daun teh berkualiti tinggi dan bahan semula jadi yang diperoleh daripada pembekal dipercayai.

“Teh campuran kami juga dibuat dengan bahan-bahan terapeutik, dan ini membezakan teh kami di pasaran,” ujarnya yang kini berusia 27 tahun.

Selain teh masala, kafe dan gerai Tea Thambi turut menyediakan jualan lain seperti kopi, teh halia, roti bakar, dan kuih muih termasuk vadai dan karipap.

Dalam pada itu, apabila ditanya mengenai detik yang meyakinkannya bahawa perniagaan teh masala tersebut boleh pergi lebih jauh, Kavi berkata, ia berlaku ketika dia mula berjualan dengan berbasikal di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.

“Masa tengah berkayuh itu, memang ramai yang minta teh. Namun, ramai di antara mereka malas untuk berjalan. Jadi, apabila kita pergi ke sana, mereka pasti akan beli.

“Jadi, itu yang mula menyedarkan saya bahawa permintaan terhadap teh masala ini memang ada. Tapi kualiti mesti dijaga, dan harga pun mesti berpatutan,” ujarnya.

Kavi memulakan perniagaan jualan teh masalanya sekitar Julai 2020 dengan menggunakan basikal dan bergerak di sekitar Brickfields dan Masjid India.

Menurut Kavi, pada waktu itu, dia menjalankan Tea Thambi dengan berbekalkan modal awal sebanyak RM500 untuk tong minuman, stok teh, susu, dan cawan, termasuk sedikit pengubahsuaian terhadap basikal jenis fixi yang digunakannya semasa belajar.

Dia juga akan berkayuh sejauh kira-kira 10 kilometer dari rumahnya di Bandar Tun Razak, Cheras, untuk berjualan di tengah-tengah ibu kota.

Beberapa bulan selepas itu, perniagaan teh masalanya berkembang secara perlahan-lahan sehingga membolehkannya membuka gerai baharu dan juga mengambil pekerja kira-kira hampir setahun kemudian.

Menurut Kavi, pada waktu ini, perniagaan Tea Thambi dianggarkan memperoleh pendapatan hampir RM100,000 sebulan.

Jumlah tersebut hasil daripada jualan di dua kafenya di Jalan Tun Perak dan Masjid Jamek serta lima gerai, termasuk di Brickfields, Lebuh Ampang, dan Bukit Bintang.

Pada masa yang sama, Tea Thambi turut mengambil tempahan untuk menyediakan teh dan makanan termasuk di luar Lembah Klang.

Bergerak ke hadapan, Kavi berkata dia kini mendapat banyak permintaan daripada pihak lain untuk membuka francaisnya di luar Lembah Klang.

Bagaimanapun, menurutnya, dia perlu mengumpul lebih banyak pengalaman dalam menguruskan perniagaan sebelum mengambil langkah seterusnya.

“Saya memang merancang untuk membesarkan lagi, tetapi saya masih tengah belajar bagaimana nak uruskan perniagaan.

“Sebab saya bukan sekadar nak buat duit, jual RM100,000, tetapi akhirnya tiada hasil.

“Walaupun lambat, tidak mengapa. Asalkan kita berkembang dengan stabil,” ujarnya.

Baca Lagi:
Bos tak bagi cuti, wanita meninggal dunia dipaksa bekerja ketika tengah sakit
Ramai terkandas di sempadan Malaysia-Thailand kerana tunggakan cukai, ini cara semak status perjalanan Imigresen sebelum ke luar negara
Lahir tahun 1991, kucing tertua di dunia mati pada usia 33 tahun