Menantu datang bulan, bapa mentua marah masak untuk keluarga anggap makanan jadi kotor. Generasi dahulu sering menganggap golongan wanita yang sedang berhadas berada dalam fasa kotor dan menjijikkan, sehingga tidak dibenarkan untuk memasak mahupun menyediakan hidangan di atas meja.
Ada juga yang bertindak menegah mereka daripada duduk dan makan bersama ahli keluarga yang lain, kerana dianggap membawa sial dalam tempoh tersebut.
Bagaimanapun, ramai yang mungkin tidak menyangka kepercayaan ini berlarutan sehingga hari ini dan masih diamalkan oleh segelintir individu.
Meluahkan situasi yang dialami, seorang wanita mengajukan persoalan di ruangan video TikTok pendakwah selebriti, Noor Hafiz, bagi mendapatkan penjelasan berkaitan isu wanita berhadas seperti haid yang tidak dibenarkan memasak.
Wanita itu berkata, dalam satu situasi, bapa mertuanya bukan sahaja memarahinya tetapi juga menghinanya sehingga dia enggan menikmati makanan atau minuman yang dihidangkan kerana belum mandi wajib.
“Bapa mentua saya marah dan menghina saya sehingga saya tidak makan atau minum apa yang saya hidangkan.
“Katanya, saya belum mandi wajib dan berdosa besar kerana menghidangkan makanan dan minuman kepada keluarga,” ujarnya di ruangan komen.
Pertanyaannya itu kemudian dijawab oleh Noor Hafiz menerusi satu rakaman video.
Dia juga tidak menafikan bahawa masih terdapat segelintir individu dalam masyarakat masa kini yang menganggap wanita dalam keadaan haid atau berhadas besar sebagai kotor, sehingga dilarang untuk memasak dan menyediakan makanan.
Menjawab persoalan yang diberikan, beliau menjelaskan bahawa ajaran Islam tidak pernah menegah perkara seperti itu dan hanya menggariskan 10 situasi yang haram dilakukan oleh wanita berhadas.
“Kita perhatikan ada 10 perkara dalam Islam yang tidak dibenarkan dilakukan, bahkan haram… seperti mendirikan solat, tawaf, dan berpuasa.”
“Selain itu, wanita berhadas tidak dibenarkan menyentuh al-Quran, membawa al-Quran, membaca al-Quran, menetap di dalam masjid, atau berjalan di dalam masjid jika bimbang darah menitis.
“Pada masa yang sama, mereka dilarang untuk melakukan persetubuhan termasuk bermesraan antara pusat hingga lutut,” jelasnya secara terperinci.
Beliau juga merujuk kepada penjelasan dalam artikel terbitan Mufti Wilayah Persekutuan, menyatakan bahawa tiada satu garis panduan yang melarang wanita untuk menyediakan makanan atau memasak untuk ahli keluarga.
Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan warga maya meluahkan rasa terkejut apabila mengetahui situasi itu masih berlaku di zaman milenia ini.
Bagaimanapun, ramai pelayar wanita meninggalkan reaksi gembira sekiranya perkara tersebut benar kerana beranggapan ia adalah masa terbaik untuk mereka berehat.
“Alhamdulillah, senanglah kerja kalau dah tak perlu makan. Boleh kita rehat, tak perlu memasak.
“Senang sikit kerja, tak payah masak untuk mentua.
“Dulu, setiap kali datang haid, bapa tak suruh masak nasi… dia sanggup masak sepanjang anak-anak datang bulan.
“Samalah seperti dulu, bapa mentua marah kerana tak mandi wajib. Padahal pagi-pagi dah mandi,” luah beberapa warga maya.