Kanak-kanak perempuan disambar buaya ketika mandi di jeti. Seorang kanak-kanak perempuan telah disambar buaya di jeti Kampung Seberang Pasar Lama, Tatau, Bintulu, hari ini.
Mangsa, Cicilia Julan Intik, berusia 6 tahun, disambar reptilia tersebut ketika dia sedang mandi bersama ahli keluarganya di jeti itu.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 6.30 petang itu disaksikan oleh datuk mangsa yang turut mandi bersamanya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 7.21 petang.
Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau telah diarahkan ke lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai sejurus menerima panggilan tersebut.
Setibanya di lokasi pada jam 7.30 malam, komander operasi melaporkan bahawa kejadian itu benar-benar berlaku kerana ia disaksikan oleh datuk mangsa.
Pencarian dilakukan di sekitar jeti dan tebing sungai dengan kerjasama anggota polis serta ahli keluarga mangsa, namun mangsa gagal dikesan, katanya.